Kesan darah lelaki yang mati di depan rumah teres setingkat, di Taman Seri Krubong, malam tadi. FOTO Muhammad Hatim Ab Manan
Kesan darah lelaki yang mati di depan rumah teres setingkat, di Taman Seri Krubong, malam tadi. FOTO Muhammad Hatim Ab Manan
Mohd Hilmie Hussin

Melaka: Lelaki warga asing yang belum dikenal pasti identiti, ditemui mati di depan rumah teres setingkat, di Taman Seri Krubong, di sini, malam semalam.

Difahamkan, dalam kejadian 11.30 malam itu, polis menerima maklumat daripada orang awam membabitkan pergaduhan antara rakan serumah warga asing.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah berkata, mangsa berusia 30-an ditemui dalam keadaan terbaring di hadapan rumah.

"Identiti serta warganegara sebenar mangsa belum dapat dipastikan berikutan kita belum menjumpai identiti pengenalan diri.

"Mangsa terbaring dengan kesan kecederaan dipercayai tikaman menggunakan pisau. Kita belum menemukan senjata yang dipercayai digunakan untuk membunuh mangsa dan membuka siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya ketika ditemui.

Menurut Shaikh Abdul Adzis, bilangan suspek yang terbabit juga belum dapat disahkan berikutan jiran tidak mengenali siapa yang tinggal di lokasi kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Februari 2017 @ 10:48 AM