CHUAH Ghee Lye. FOTO Zuhairi Zuber
CHUAH Ghee Lye. FOTO Zuhairi Zuber
Mohd Hilmie Hussin


Melaka: Polis yakin menyelesaikan kes pembunuhan warga emas, Hussin Joh, 75, di Kampung Lanjut Manis, Krubong, di sini, Jumaat lalu, selepas menahan tiga lelaki termasuk seorang dipercayai suspek utama pada Ahad dan semalam.

Ketua Polis Melaka, Datuk Chuah Ghee Lye berkata, tiga suspek terbabit berusia 20 hingga 28 tahun ditahan dalam tiga siri tangkapan berbeza.

"Antara tiga yang ditahan ini, seorang dipercayai menikam mangsa dan ketiga-tiga suspek juga dikenali mangsa," kata Chuah ditemui selepas Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, Bukit Beruang, di sini.

Katanya, ketiga-tiga suspek kini direman tujuh hari.

Dalam kejadian Jumaat lalu, lelaki warga emas ditemui terbaring dalam keadaan berlumuran darah dengan dua kesan tikaman di hadapan rumahnya di Kampung Lanjut Manis, Krubong, di sini.

Mangsa dipercayai disamun sebelum dibunuh dan polis mengklasifikasikan kes mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 January 2016 @ 1:13 PM