Laporan portal berita Harian Metro sebelum ini.
Laporan portal berita Harian Metro sebelum ini.
Rizanizam Abdul Hamid


LELAKI kes bunuh dua beranak kerat lapan di Kampung Ladang, Krubong, Melaka 10 Oktober lalu akan dituduh di Mahkamah Ayer Keroh esok.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Melaka, Asisten Komisioner Mohd Nor Yhazid Idris berkata, lelaki warga Singapura itu akan dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh pada 8.30 pagi.

“Kertas siasatan sudah diserahkan ke Pengarah Pendakwaan Negeri, Badius Zaman Ahmad.

“OKT (orang kena tuduh) akan dituduh esok di Mahkamah Ayer Keroh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Harian Metro sebelum ini melaporkan polis mengesahkan bahagian badan yang ditemui dikerat sekurang-kurangnya lapan bahagian dan ditemui berselerakan di Kampung Ladang, Krubong adalah milik Norfazera Bidin, 27, dan anak lelakinya Muhammad Iman Asraf, 11.

Identiti mereka disahkan selepas pihaknya memperoleh keputusan rasmi ujian asid deoksiribonukleik (DNA).

Jenazah dua beranak itu selamat dikebumikan dalam satu liang lahad tengah malam Isnin lalu di Tanah Perkuburan Islam Bertam-Malim.

Susulan kejadian, polis menahan lelaki warga Singapura yang juga suami mangsa 12 Oktober lalu, kerana disyaki terbabit dalam kes pembunuhan kejam itu.

  • Lagi berita berkaitan Mayat Dikerat Lapan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Oktober 2019 @ 6:46 PM