PEMINJAM membuat pembayaran  di Pejabat PTPTN.
PEMINJAM membuat pembayaran di Pejabat PTPTN.
myMetro

Kuala Lumpur: “Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sudah menemui jalan penyelesaian terhadap masalah ini dan akan diumumkan dalam masa terdekat,” kata Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia merangkap Pengerusi Biro Pemuda IPT, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya. Beliau mengulas isu hutang pinjaman PTPTN membabitkan belia Malaysia yang dibangkitkan Ketua Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Syed Saddiq Abdul Rahman dan Exco Mahasiswa & Pendidikannya, Abdul Hannaan Khairy, baru-baru ini.

“PTPTN komited dan sentiasa terbuka untuk membincangkan mengenai pelbagai masalah membabitkan masalah peminjam, kelestarian, polisi yang dilaksanakan serta isu berkaitan bayaran balik pinjaman PTPTN.

“Ini terbukti melalui beberapa siri perbincangan Meja Bulat bersama pelbagai kelompok agensi dan persatuan berkepentingan yang diadakan secara berkala serta berterusan sejak 2014 hingga kini.

“Malah, saya bersama rakan-rakan antara yang terbabit dan hadir ke beberapa siri perbincangan berkenaan,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, antara isu lain yang turut dibincangkan adalah galakan bayaran balik, pelaksanaan tindakan penguatkuasaan, penangguhan bayaran balik, penyenaraian dalam Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) dan senarai hitam melalui Jabatan Imigresen.

Berdasarkan perbincangan Meja Bulat itu, rungutan peminjam yang diluluskan penangguhan bayaran balik tetapi mempunyai tunggakan dan rekod buruk di dalam CCRIS amat diberi perhatian.

“Mengikut rekod dan status terkini, perkara ini akan selesai tidak lama lagi dan peminjam bakal dimaklumkan oleh PTPTN dalam masa terdekat.

“Justeru, saya ingin menyatakan kepada Ketua Pemuda PPBM bahawa isu ini dalam perhatian Pemuda UMNO secara serius dan kami sudah bincang dalam beberapa sidang meja bulat sebelum ini.Pelbagai langkah penambahbaikan dilakukan PTPTN dan kita perlu faham ia mengambil masa kerana membabitkan pembangunan sistem dan polisi.

“Perkara ini tidak boleh siap dalam sekelip mata kerana perubahan polisi misalnya memerlukan kelulusan pihak atau institusi lebih tinggi.

“Antara penambahbaikan yang sudah dilaksanakan adalah penyediaan kemudahan pinjaman secara ‘over lapping’ bagi peminjam melanjutkan pengajian seterusnya dengan pinjaman PTPTN,” katanya.

Beliau turut memohon agar isu pendidikan seperti ini tidak dipolitikkan oleh pihak tertentu untuk kepentingan mereka.

Sebaliknya, jika timbul isu berkaitan pendidikan, gunakan saluran yang betul untuk menyampaikan pandangan di samping prinsip tabayyun dilaksanakan agar tidak membuat fitnah dan andaian yang mencemarkan nama baik pihak lain.

Timbalan Pengerusi Biro Media Sosial Pemuda UMNO Malaysia, Jefrizal Jaafar pula berkata, peminjam harus mempunyai disiplin dan tanggungjawab membayar balik pinjaman.

“Ini kerana PTPTN bukan institusi berorientasikan keuntungan sebaliknya bergantung kepada putaran wang bayaran balik oleh peminjam untuk membiayai pengajian pelajar di kolej atau universiti.

“Selain itu, tindakan peminjam tidak membayar balik bagai memperjudikan nasib generasi masa depan yang mungkin terdiri daripada adik mereka daripada meneruskan pelajaran ke menara gading dengan pinjaman PTPTN,” katanya.

Sementara itu, beliau melihat kempen #BolehBincang oleh PTPTN satu inisiatif yang baik bagi peminjam tampil untuk berbincang dan berunding sekiranya mempunyai sebarang keraguan. Kempen itu sentiasa memberi ruang untuk membantu menyelesaikan masalah peminjam.

“Malah, menerusi platform ini segala permasalahan dapat diselesaikan melalui perbincangan daripada menularkan sesuatu isu di laman sosial hingga menimbulkan pandangan negatif terhadap PTPTN,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Julai 2017 @ 5:42 AM