ORANG ramai mendapatkan maklumat daripada PTPTN.
ORANG ramai mendapatkan maklumat daripada PTPTN.
myMetro

Kuala Lumpur: Mulai 15 Ogos ini, rekod hutang terdahulu (pinjaman pertama) peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) di dalam Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) dan Jabatan Imigresen akan dikemas kini sebagai langsai hutang melalui kaedah penggabungan atau ‘overlapping’.

Jadual bayaran balik mereka juga hanya wujud enam bulan selepas peminjam tamat pengajian bagi pinjaman kedua.

Pengerusi PTPTN Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, penambahbaikan fasa kedua itu kepada mereka yang pinjaman keduanya diluluskan sebelum kemudahan penggabungan itu diperkenalkan (sebelum 6 April 2016).

“Penggabungan pinjaman ialah menggabungkan lebih dari satu pinjaman menjadi satu pinjaman saja. Ini bermaksud, peminjam akan mempunyai satu rekod dan memudahkan bayaran balik pinjaman kerana ia dibuat berdasarkan satu amaun ansuran bulanan.

“Contohnya, peminjam mempunyai pinjaman diploma RM15,000 dan memohon pula pinjaman ijazah sebanyak RM21,000. Ini menjadikan jumlah yang diluluskan secara penggabungan ialah RM36,000.

“Jumlah RM15,000 itu untuk langsai hutang diploma dan bakinya untuk dibayar sepanjang tempoh pengajian ijazah. Jadual bayaran balik baru akan bermula enam bulan selepas peminjam tamat pengajian peringkat ijazah itu,” katanya pada sesi sidang media di Menara PTPTN, di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Eksekutif PTPTN, Wan Ahmad Wan Yusoff dan Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia merangkap Pengerusi Biro Pemuda IPT Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya.

Menurutnya, pada fasa pertama penambahbaikan itu yang dimulakan pada 6 April tahun lalu, seramai 32,213 peminjam PTPTN mendapat manfaatnya dan melalui penambahbaikan fasa kedua ini, seramai 45,866 pula bakal menerima kemudahan itu.

Bagaimanapun, kaedah penggabungan itu tidak boleh dilakukan secara automatik kepada 545 peminjam dalam kumpulan sama yang mempunyai pinjaman konvensional.

Justeru, mereka yang terbabit ini perlu menghubungi talian Careline PTPTN, 03-21933000 untuk bertukar ke pinjaman ujrah terlebih dahulu sebelum penggabungan boleh dilakukan.

“Kami sentiasa mendengar dan mengambil tindakan terhadap setiap keluhan, rungutan serta masalah dialami peminjam termasuk isu berbangkit seperti ini.

“Pelbagai siri perbincangan dilakukan bersama pihak terbabit untuk mengatasi masalah sedia ada dan menambah baik sistem kita untuk memberi kemudahan kepada peminjam membayar balik pinjaman mereka.

“Namun, disebabkan ia

membabitkan penggubalan

dasar dan polisi, kita mengambil

sedikit masa untuk

menyelidik sebelum ia boleh

diguna pakai,” katanya.

Selain itu, PTPTN juga

akan mengeluarkan notis

makluman kepada peminjam

yang terbabit bagi memaklumkan

kemudahan

penggabungan yang dilakukan

terhadap akaun pinjaman

mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Ogos 2017 @ 10:23 AM