Oleh Baharom Bakar


Kuala Berang: Runtuhan tanah sehingga menyebabkan berlakunya fenomena 'kepala air' tidak menjejaskan struktur Empangan Kenyir dan mengancam keselamatan penduduk.

Ahli Dewan Undangan negeri (Adun) Telemong Datuk Rozi Mamat berkata, runtuhan tanah berlaku disebabkan hujan keterlaluan sehingga menghanyutkan sisa hutan berlaku di luar kawasan empangan.

Kata beliau, runtuhan tanah yang berlaku di luar kawasan empangan juga tidak menjejaskan struktur Stesen Janaelektrik Sultan Mahmud (SJSM).

"Runtuhan bukit di luar kawasan empangan sehingga menyebabkan berlakunya fenomena kepala air tidak mengancam keselamatan penduduk yang tinggal di beberapa kampung berhampiran empangan.

"Pada masa sama, runtuhan tanah turut mengakibatkan sebuah menara telekomunikasi tumbang," katanya kepada media selepas menyaksikan majlis penyerahan sumbangan 200 dapur bernilai RM20,000 dan pelbagai makanan asas untuk mangsa banjir bernilai RM10,500 hari ini.

Bantuan dapur dan makanan keperluan asas untuk meringankan beban mangsa banjir itu disumbang Umno Bahagian Temerloh.

Ia disempurnakan Bendahari Umno Bahagian Temerloh Datuk Yusof Nong kepada Ketua Penerangan Umno Bahagian Hulu Terengganu Baharuddin Bl Diah.

Turut hadir Ketua Penerangan Umno Bahagian Temerloh Datuk Ridzuan Hazimin dan Ketua Pergerakan Puteri Umno Bahagian Hulu Terengganu Wan Khatijah Wan Bakar.

Mengulas lanjut, Rozi yang juga Ketua Umno Bahagian Hulu Terengganu berkata, penilaian dilakukan Tenaga Nasional Berhad (TNB) mendapati, struktur empangan kekal utuh dan tidak mewujudkan sebarang risiko keselamatan kepada penduduk.

"Saya diberi kesempatan pengurusan TNB melakukan tinjauan di kawasan empangan, selain melawat lokasi runtuhan dan mendapati, runtuhan tanah sehingga menyebabkan berlakunya fenomena kepala air berlaku di luar kawasan empangan," katanya.

Mengulas mengenai pembalakan, Rozi berkata, hasil tinjauan dan pemantauan mendapati, tiada pembalakan haram dilakukan di beberapa bukit di kawasan runtuhan.

"Tiada aktiviti pembalakan berlaku di beberapa bukit di kawasan runtuhan terutama di luar kawasan empangan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Mac 2022 @ 12:50 PM