BERNAMA

Kuala Lumpur: Peguam seorang bapa empat anak yang mengaku bersalah mencuri pelbagai keperluan asas di sebuah pasar raya di Cheras, dua hari lalu, merayu mahkamah menjatuhkan hukuman ringan dengan alasan tertuduh yang baru kehilangan pekerjaan, perlu menanggung empat anak.

Ketika merayu itu, Azi Azlin Zulkifli berkata: “Jika dilihat barang-barang kes yang dirampas adalah untuk anak-anaknya kerana dia tidak mampu menghantar anaknya ke klinik...barang itu adalah keperluan asas," katanya.

Tertuduh, Mohd Zaki Mat Nawi, 34, mengaku mencuri pelbagai barangan termasuk dua keping plaster meredakan demam, Koolfever, dua botol ubat batuk, dua botol losyen dan barang lain yang semuanya bernilai RM332.14 di Pasaraya Tesco, Taman Midah, Cheras, pada 9.44 malam, Rabu lalu.

Majistret Mahyudin Mohmad Som menjatuhkan hukuman dipenjara sehari dan denda RM1,000 terhadapnya dan memerintahkan tertuduh dipenjara dari tarikh tangkap pada Rabu lalu, dan penjara sebulan lagi jika gagal membayar denda.

Dia didakwa mengikut Seksyen 380/511 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun enam bulan dan juga dikenakan denda atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Nur Farah Adilah Noordin memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 January 2017 @ 7:15 PM