FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
BERNAMA

GARA-gara menyimpan sebuah kereta curi, dua rakan masing-masing dipenjara lapan bulan dan denda RM2,500 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Majistret Fardiana Haryanti Ahmad Razali menjatuhkan hukuman tersebut selepas, Wan Gheng Chew, 26, dan Mah Kah Heng, 29, selepas kedua-dua mereka mengaku bersalah, selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa.

Majistret juga memerintahkan kedua-dua tertuduh menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap pada 1 Februari lalu dan akan dipenjara tambahan dua bulan lagi sekiranya gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh yang menganggur didakwa menyimpan sebuah kereta jenis Proton Waja diketahui adalah harta curi, milik seorang juruteknik Chan Kang Siong, 40, di Desa Petaling, Cheras di sini pada 4.30 petang, 3 Februari lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan (KK) dan dibacakan bersama Seksyen 34 KK, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Rajdeep Singh Bhupinder Singh memohon hukuman berbentuk pemenjaraan dan denda, dikenakan ke atas kedua-dua tertuduh.

Bagaimanapun, kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam, merayu hukuman ringan dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan itu pada masa akan datang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Mac 2020 @ 7:51 PM