Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gemas, Syed Ammar Syed Abas (kanan) turut membantu membersihkan tadika yang terjejas akibat banjir di Taman Sungai Gemas, Negeri Sembilan.FOTO Iqmal Haqim Rosman
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gemas, Syed Ammar Syed Abas (kanan) turut membantu membersihkan tadika yang terjejas akibat banjir di Taman Sungai Gemas, Negeri Sembilan.FOTO Iqmal Haqim Rosman
Mohd Amin Jalil


Tampin: Seramai 157 mangsa daripada 43 keluarga yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Besar Gemas di sini, dibenarkan pulang, petang ini.

Ia berikutan banjir yang melanda Taman Sungai Gemas, di sini, kelmarin, mulai surut dan sebahagian daripada mangsa pulang untuk membersihkan rumah masing-masing, sejak jam 1 tengah hari tadi.

Bagaimanapun, PPS berkenaan dijangka ditutup petang ini.

Mangsa banjir, Zuliana Mohammad, 27, berkata dia dan suami Aril Fahmi, 29, serta tiga anak berusia lima hingga 16 tahun terpaksa bergotong-royong membersihkan rumah yang berlumpur akibat banjir.

"Kami berasa lega dibenarkan pulang selepas dua hari berada di pusat pemindahan ini. Saya juga bersyukur kerana tidak banyak barang rumah yang rosak.

"Kejadian banjir ini adalah kali kedua berlaku selepas 2011. Saya berharap keadaan cuaca selepas ini semakin baik," katanya ketika ditemui di rumahnya, hari ini.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gemas, Syed Ammar Syed Abas berkata, seramai tujuh anggota membantu membersihkan kediaman warga emas, surau dan tadika di taman itu, bermula jam 10 pagi tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 January 2017 @ 4:07 PM