PERSEMBAHAN An Evening With Anuar Zain di MATIC memang tidak mengecewakan.
PERSEMBAHAN An Evening With Anuar Zain di MATIC memang tidak mengecewakan.
Syanty Octavia Amry


Kredibilitinya sebagai seorang penghibur serba boleh tidak perlu dipertikaikan lagi.

Mampu membuat setiap orang yang me­nyaksikan persembahannya histeria, penyanyi terkenal Anuar Zain mengakui sentiasa meletakkan peminat sebagai perkara utama setiap kali beraksi di pentas.

Mengadakan persembahan An Evening With Anuar Zain di MATIC, Jalan Ampang, Kuala Lumpur pada Jumaat dan Sabtu lalu, kehadirannya di pentas begitu dinanti-nantikan. Tatkala dia muncul masing-masing tidak boleh duduk diam.

Membuka tirai persembahan dengan lagu Bila Resah, ia sangat sinonim dengan situasi penonton yang ada dalam Dewan Tunku Abdul Rahman, MATIC apabila masing-masing mula resah mengambil gambar sejurus Anuar mula berjalan mengeliling dewan sambil menyanyi dengan peminat.

Hampir satu jam 10 minit mempersembahkan penonton dengan lagu-lagu popularnya, persembahan Anuar sedikit pun tidak mengecewakan.

Walaupun perjanjian persembahan hanya sekejap dan begitu singkat, nyata ia memberi kepuasan yang begitu bermakna berikutan jumlah penonton yang ada sangat terhad kira-kira 300 orang.

Ditemui selepas persembahan, Anuar berkata, ia sempena Malaysia Year of Festival (MyFEST) 2015 di mana MATIC turut terbabit dalam menjayakan pelbagai acara untuk orang ramai terutamanya pelancong.

“Persembahan saya adalah pembuka dan salah satu acara untuk MyFEST kali ini. Rasa gembira dapat sama-sama mempromosikan acara yang ada di Matic.

“Ini adalah persembahan paling singkat pernah saya jayakan. Saya sedar waktu yang diberikan sa­ngat terhad, namun saya yakin penonton berpuas hati dengan apa yang saya persembahkan.

“Dengan jumlah yang terhad ini, saya harap peminat akan terasa lebih dekat, santai dan mesra dengan persembahan saya,” katanya.

Antara lagu-lagu lain yang dipersembahkan Anuar ialah Lelaki Ini, Ketulusan Hati, Ajari Aku, Keabadian Cinta, Mungkin, Kau Bunga Cintaku dan dua lagu medley Inggeris iaitu Hello dan Someone Like You yang menjadi lagu kegemarannya ketika berkaraoke.

Dalam pada itu, mengulas mengenai pembabitannya dalam Minggu Setiausaha tahun ini, Anuar berkata, dia terpaksa menolak beberapa persembahan yang ditawarkan kerana terbabit dengan projek yang lebih besar.

“Saya bukan ‘demand’ dan wang bukanlah segala-galanya terhadap setiap persembahan yang saya jayakan. Apa yang saya lakukan ini kerana saya sudah punya perancangan yang lain lebih besar dan menarik lagi.

“Saya juga tidak mahu terlalu kerap muncul sehingga boleh membuatkan peminat bosan. Justeru, saya selesa mengambil satu persatu persembahan dalam waktu yang jauh supaya peminat akan terasa rindu untuk melihat saya beraksi.

“Lagipun saya sudah terlalu kerap mengadakan persembahan pada Minggu Setiausaha, justeru untuk tahun ini saya mahu fokus terhadap persembahan yang jarang-jarang saya lakukan dan semuanya saya lakukan melihat pada kesesuaian demi pelanggan,” katanya lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Mac 2015 @ 10:17 AM