Anuar Zain
Anuar Zain
Norhayati Nordin


Cyberjaya: Anuar Zain, 53, memilih untuk tidak menjadi juri pada mana-mana pertandingan nyanyian kerana berasa dirinya tidak sesuai memberi komen kepada orang lain.

Anuar ketika ditemui berkata, dia ada pendirian tersendiri untuk menolak tawaran menjadi juri selepas mengambil kira tindakan segelintir peminat yang tidak boleh menerima penyanyi kesukaan mereka ditegur.

"Kadang-kadang ada peminat terlalu beremosi kerana begitu kasih dan sayangkan artis kesukaan mereka sehingga tidak dapat menerima komen-komen tegas daripada juri.

"Sebenarnya, juri ini sentiasa berniat murni dan sangat baik untuk membantu artis itu membuat yang lebih baik, berkongsi tips persembahan tetapi kadang-kadang penonton kita tidak memahami benda itu dan menyalahkan juri," katanya kepada Harian Metro.

Anuar atau nama sebenarnya, Shahrul Anuar Zain berkata, dia sudah banyak kali menerima tawaran menjadi juri apa saja jenis pertandingan sejak 10 ke 15 tahun dulu, tetapi semuanya ditolak secara baik.

"Saya menolak dengan alasan memang tidak sesuai jadi juri dan saya tak layak nak beri komen walaupun acara hiburan itu berprestij. Jadi, cukuplah saya hanya menyanyi dan buat persembahan saja.

"Bagi saya, tujuan juri menegur itu sebenarnya kita nak sama-sama naik (dikenali). Tapi, kadang-kadang saya tak suka elemen-elemen negatif yang cuba ditimbulkan peminat daripada komen ditulis itu kerana ia merosak diri.

Saya tak boleh (dengan komen negatif penonton). Untuk itu, saya nak jauhkan diri daripada terima komen-komen yang pelik ini. Apatah lagi, setiap artis itu ada jiwa sensitif di dalam diri," katanya.

Anuar berkata, dia sendiri kasihan apabila melihat rakan selebriti yang rapat dengannya teruk dihentam dan dikecam peminat ketika menjadi juri disebabkan tidak boleh menerima teguran diberi kepada artis kesayangan mereka.

Menurut penyanyi lagu Lelaki Ini dan Sedetik Lebih ini, dia pernah dua kali menjadi juri jemputan iaitu di Akadami Fantasia musim kedua (AF2) dan Malaysian Idol saja selama aktif di dalam nyanyian.

Terdahulu, Anuar menerima kunjugan pengamal media yang menyaksikan sesi latihannya bersama pemuzik remaja dari Sekolah Seri Puteri (SSP) Cyberjaya di sini, sempena konsert amal, Flourishes 2023: Konsert Gala Seri Puteri Simfonik Winds di Istana Budaya pada Ahad ini, jam 8.30 malam.

Konsert orkestra istimewa itu bertujuan bagi mengumpul dana untuk penyertaan SSP ke pertandingan International Orchestra Festival & Competition Golden Sardana di Barcelona, Sepanyol pada 12 hingga 17 September depan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Mei 2023 @ 8:26 AM