Siti Nurhaliza meramalkan lagu Terimaku Seadanya nyanyian Misha Omar dan Hafiz Suip dinobat juara AJL ke-31. FOTO Shazreen Zamzuri
Siti Nurhaliza meramalkan lagu Terimaku Seadanya nyanyian Misha Omar dan Hafiz Suip dinobat juara AJL ke-31. FOTO Shazreen Zamzuri
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lipis: Datuk Siti Nurhaliza menjangkakan lagu Terimaku Seadanya nyanyian Misha Omar dan Hafiz Suip dinobat Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-31 yang berlangsung malam ini.

Siti yang pernah memenangi AJL sebanyak tiga kali berkata, lagu ciptaan Ajai itu mempunyai kekuatan dari segi melodi.

"Apabila layak ke AJL, semua lagu adalah yang terbaik. Jadi memang susah nak menjangkakan siapa yang menang.

"Secara peribadi saya berasakan lagu nyanyian Misha dan Hafiz ada harapan untuk menjuarai edisi kali ini. Lagu mereka sangat 'sesuatu' selain kombinasi penyanyi yang bagus.

"Bagi saya mereka sudah menyampaikan lagu itu dengan baik sekali," katanya kepada Harian Metro.

Selain itu, Siti turut melihat lagu Sudah Ku Tahu nyanyian kumpulan Projector Band mempunyai peluang besar dan bakal mencipta kejutan.

Pada masa sama, Siti menjangkakan penyanyi Dayang Nurfaizah sekali lagi bakal memenangi kategori vokal terbaik.

"Tak dinafikan AJL kali ini memang sengit. Malah kategori vokal antara yang menjadi tumpuan.

"Mungkin Dayang boleh menang sekali lagi dalam kategori. Tapi tak boleh dilupakan Black yang diakui vokalnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 January 2017 @ 3:28 PM