MISHAR  bersama trofi selepas diumumkan sebagai pemenang vokal terbaik pada malam AJL33 di Axiata Arena, Bukit Jalil. FOTO/NURUL SYAZANA ROSE RAZMAN.
MISHAR bersama trofi selepas diumumkan sebagai pemenang vokal terbaik pada malam AJL33 di Axiata Arena, Bukit Jalil. FOTO/NURUL SYAZANA ROSE RAZMAN.
Amirul Haswendy Ashari


"Kalau boleh saya mahu jumpa satu-satu dan 'piat' telinga mereka, baru mereka tahu!" seloroh komposer Azmeer mengenai tahap vokal segelintir penyanyi pada malam Anugerah Juara Lagu ke-33 (AJL33), semalam.

Azmeer yang juga ketua juri AJL33, mendedahkan kemenangan Misha Omar bagi kategori Vokal Terbaik adalah mudah.

"Jujurnya bagi saya, Misha Omar menang mudah untuk Vokal Terbaik sebab ramai penyanyi lain yang lemah dari segi nyanyian.

"Bukan apa, ada sesetengah penyanyi sudah bertahun-tahun menyanyi, jadi apa masalah mereka?," soalnya.

Dia melihat kebanyakan penyanyi berdepan dengan masalah kelemahan vokal yang berpunca daripada kurang stamina dan teknik pernafasan salah.

Katanya, mereka membuat kesalahan 'passing note' di sana dan sini sehingga empat atau lima kali.

"Kalau potong satu markah untuk satu 'passing note' pun, mungkin empat ke lima markah sudah hilang.

"Macam Misha, dia ada juga 'passing note' tapi kurang membuat kesilapan seperti orang lain," kata Azmeer lagi.

Tanpa berselindung, dia turut melihat cara nyanyian duet Hael Husaini dan Dayang Nurfaizah amat baik lantas menjadikan mereka berada di kedudukan yang bagus dalam kategori vokal terbaik AJL33.

AJL33 yang bersiaran secara langsung dari Axiata Arena di saluran TV3 semalam menyaksikan lagu Sampai Bila nyanyian Misha turut menggondol tempat ketiga.

Kemenangan kategori Vokal Terbaik AJL33 melayakkan Misha membawa pulang wang tunai RM12,000 beserta trofi.

Ini adalah kemenangan ketiga Misha dalam kategori sama pada AJL18 dan AJL19 lalu.

Juara Lagu AJL33 dimenangi lagu Haram nyanyian Hael dan Dayang, manakala Naib Juara milik lagu Bunga nyanyian Ara Johari.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Februari 2019 @ 10:32 AM