KEADAAN jalan di Kampung Tembila, Besut, yang ditutup untuk kenderaan selepas dinaiki air. FOTO Ghazali Kori
KEADAAN jalan di Kampung Tembila, Besut, yang ditutup untuk kenderaan selepas dinaiki air. FOTO Ghazali Kori
Isma Ismail


Kuala Terengganu: Tiga belas sekolah di empat daerah di Terengganu ditutup, pada Ahad, 22 Januari, berikutan dinaiki air dan dijadikan pusat pemindahan.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri, Shafruddin Ali Hussin, berkata 2,679 murid dan 307 guru terjejas berikutan sekolah terbabit.

Menurutnya, penutupan itu membabitkan semua sekolah rendah dengan lapan di Setiu diikuti masing-masing dua di Hulu Terengganu dan Besut serta Kemaman (satu).

Katanya, enam sekolah yang ditutup di Setiu adalah kerana ditakungi air ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Besut, SK Chalok, SK Langkap, SK Kampung Buloh, SK Sungai Las dan SK Kampung Bukit.

"Dua sekolah lagi iaitu SK Alur Lek Kasar serta SK Merbau Menyusut pula ditutup untuk sesi persekolahan kerana terputus hubungan fizikal dan menjadi pusat pemindahan.

"Di Hulu Terengganu pula, sekolah yang terbabit adalah SK Tengkawang dan SK Matang manakala di Kemaman (SK Padang Kubu) serta Besut pula adalah SK Kampung Nangka dan SK Tembila," katanya.

Sementara itu, 3,835 orang daripada 1,097 keluarga berada di 79 pusat pemindahan di empat daerah di Terengganu, pada kira-kira 9 malam tadi.

Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Banjir Negeri, jumlah itu meningkat berbanding 3,316 orang daripada 908 keluarga di 70 pusat pemindahan pada 6 petang, 21 Januari.

Daerah Besut terus mencatat jumlah mangsa tertinggi dengan 1,693 orang daripada 427 keluarga di 34 pusat pemindahan kekal seperti petang tadi.

Jumlah mangsa di Setiu pula terus meningkat kepada 940 orang daripada 251 keluarga di 21 pusat pemindahan berbanding904 orang daripada 238 keluarga.

Bilangan mangsa di Hulu Terengganu juga meningkat kepada 1,085 daripada 387 keluarga di 16 pusat pemindahan berbanding 631 orang daripada 213 keluarga di 10 pusat pemindahan sebelum ini.

Pertambahan mangsa turut berlaku di Kemaman dengan 117 orang daripada 32 keluarga berbanding 88 orang daripada 30 keluarga berada di lima pusat pemindahan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 January 2017 @ 2:07 AM