PELAKON Putera La Galigo (dari kiri belakang) Amar Asyraf, Wan Raja, Isa Khan, (depan kiri) Ainul Aishah dan Tasha Shila.
PELAKON Putera La Galigo (dari kiri belakang) Amar Asyraf, Wan Raja, Isa Khan, (depan kiri) Ainul Aishah dan Tasha Shila.
Amirul Haswendy Ashari.


Seni pementasan teater dibahagikan kepada dua iaitu moden dan tradisional. Bagi menarik minat golongan muda, selalunya pementasan teater berkisar sejarah bangsa akan menyelitkan elemen moden.

Ia termasuklah elemen muzikal, tarian, nyanyian, aksi dan penggunaan prop yang artistik dan unik. Ikutkan, ia hampir sama saja dengan teater bangsawan, bezanya dari segi pengucapan dialog lebih santai dan mudah difahami.

Hal inilah yang diguna pakai dalam pementasan terbesar pernah diadakan di Selangor, teater Putera La Galigo yang menceritakan susur galur sejarah kesultanan Melayu negeri itu.

SELEBRITI Metro Ahad sempat mendengar pengalaman bersama pelakon utama teater itu, Amar Asyraf, Wan Raja dan pelakon baru, Isa Khan.

Bagi Wan Raja, 38, biarpun lakonan teater menjadi ‘makanan’ sedari dulu, pementasan kali ini dianggap berbeza dari sudut fizikal dan pengalaman baru.

Katanya, teater ini lengkap dengan aksi, drama, tarian dan nyanyian. Biarpun sudah bertahun-tahun bermain teater, dia akui inilah teater pertama memerlukannya menari dan menyanyi secara ‘live’ (langsung).

“Apabila dapat tawaran daripada Dr Rosdeen Suboh, soalan pertama saya siapa lagi pelakon? Apabila ambil skrip keesokan harinya, baru saya tanya pasal bayaran,” katanya ketawa.

Pelakon yang pernah beraksi dalam puluhan teater antaranya Raja Ku Puteh, Jebat, Raden Mas dan Puteri Saadong teruja sebab teater kali ini berkisar tokoh yang pernah hidup dan tercatat dalam sejarah Selangor pada skala besar.

Selain itu, pementasan ini menjadi lebih istimewa kerana dapat persembahkannya di hadapan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor yang berkenan untuk hadir menonton.

Walaupun ada unsur bangsawan, pengarah teater meminta pelakon bercakap seperti biasa, bukan dengan bahasa kiasan yang terlalu berbunga-bunga.

“Saya sudah biasa dengan teater bangsawan dan teater kali ini berbeza sebab dilakukan pada skala besar. Suasana latihan menjadi mudah sebab mendapat rakan pelakon yang profesional dan serasi,” katanya.

Mengenai cabaran sepanjang latihan yang berlangsung selama dua bulan, pelakon drama bersiri Andartu terbitan Skop Production itu mendedahkan, pada proses latihan teater dia turut menjalani penggambaran Andartu.

Katanya, dalam Andartu dia memegang watak lelaki ‘gay’ berperwatakan lembut. Dalam tempoh itu dia terpaksa mengambil masa untuk bertukar karakter dari watak lelaki lembut dalam drama kepada watak seorang jeneral dalam teater.

“Untuk sebulan pertama, saya perlu lima minit untuk ‘tune’ kembali watak sebelum masuk ke sesi latihan teater,” katanya memegang watak Jeneral Mayong.

Debaran Isa, Amar

Melangkah bidang teater dianggap satu rahmat untuk terus berada dalam bidang seni bagi bekas pelajar Akademi Fantasia 2016, Isa Khan, 23.

Kata Isa, dia meminati cabang seni lain sama ada muzik, lakonan dan penulisan. Baginya, teater ini langkah pertamanya terjun dalam bidang lakonan dan ia sangat membantu.

“Saya tidak kisah jika rezeki menjurus kepada bidang ini dan masa sama saya masih boleh berkarya dalam bidang muzik,” katanya dalam persiapan untuk siapkan single pertama tahun depan.

Tanpa berselindung, jejaka berdarah keturunan Pakistan dan Cina itu tidak pernah menonton teater sebelum ini.

Bagi mendapatkan gambaran jelas dari segi bentuk lakonan dan produksi, dia banyak menonton pementasan teater di laman YouTube.

Selain itu, dia juga mendapat tunjuk ajar daripada guru lakon hebat, Ellie Suriaty dan pengarah teater Putera La Galigo sendiri, Dr Rosdeen Suboh.

“Tidak dinafikan agak gementar pada peringkat awalnya tapi mereka banyak membantu untuk saya faham apa dimaksudkan dengan lakonan teater.

“Sedari itu saya mula jatuh cinta dengan teater. Putera La Galigo adalah kisah benar, ia membuatkan saya lebih tertarik sebab sedari dulu saya sukakan penceritaan kisah benar,” katanya.

Adik pelakon Sabrina Ali Khan dan pelakon popular Indonesia, Miller Khan itu bersyukur sebab pelakon lain sentiasa bersabar dengannya malah mereka banyak membantu memberi tunjuk ajar.

Dalam teater itu, Isa yang memegang watak Gabenor Ary Verbrugge dari Belanda melakonkan tujuh babak.

Katanya, babak keenam dianggap paling besar buatnya kerana ada pertarungan dengan Raja Lumu yang dilakonkan Amar Asyraf.

“Walaupun saya percaya akan ada yang menganggap lakonan saya kayu, saya berani menerima cabaran berlakon teater ini sebab ramai yang tolak.

“Saya perlukan pengalaman dan teater ini pentas terbaik buat saya. Biarpun tidak banyak babak berdialog, saya belajar untuk berekspresi dan bahasa tubuh dalam lakonan,” katanya gembira.

Bagi Amar Asyraf pula, teater Putera La Galigo adalah pertama buatnya selepas meninggalkan pentas teater kira-kira enam tahun lalu.

Disebabkan berehat lama, dia terpaksa memberi 100 peratus komitmen melalui latihan intensif hampir setiap malam di studio latihan.

“Memang agak kekok pada awalnya sebab dah lama tidak beraksi atas pentas. Tambah pula pementasan ini pada skala besar dan dipentaskan di depan keluarga Diraja Selangor dan penonton yang ramai, gementar itu lebih kuat.

“Berlakon di depan kamera dan teater menuntut perkara yang berlainan tapi saya akan pastikan untuk memberi hasil yang terbaik,” katanya.

Memegang watak utama sebagai Raja Lumu, Amar perlu mengasah kembali ilmu silat yang pernah dipelajari dulu.

Putera La Galigo menampilkan barisan pelakon popular lain seperti Tasha Shilla sebagai Puteri Perak, Raja Azura (Mak Teja), Wan Raja (Mayong) dan Ainul Aishah (Awan).

Teater ini akan dipentaskan selama tiga hari di Stadium Malawati Shah Alam bermula 16 Disember ini. Untuk pementasan 17 dan 18 Disember turut diadakan dua sesi iaitu jam 3.30 petang dan 8.30 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Disember 2016 @ 5:06 AM