PEMAIN Selangor giat menjalani latihan.
PEMAIN Selangor giat menjalani latihan.
Aziman Rosdi

Kuala Lumpur: Jurulatih Selangor P Maniam mengakui anak buahnya bakal berdepan tugas sukar menentang Pulau Pinang biarpun beraksi di laman sendiri pada aksi pertama Liga Super esok.

Beliau berkata, pasukan Harimau Kumbang itu membuat persiapan lebih rapi berbanding Red Giants yang memulakan latihan pramusim agak lewat sehinggakan kini masih mencari pemain.

“Kalau nak cakap sudah bersedia, kami sudah membuat persediaan sebaik yang boleh. Semua pemain juga dalam keadaan baik walaupun ada pemain mengalami kecederaan.

“Tidak dinafikan, Pulau Pinang membuat persiapan lebih baik berbanding kami. Mereka juga sekarang mempunyai jurulatih berpengalaman (Ashley Westwood) jadi itu cabaran hebat buat pemain saya.

“Jadi saya berharap pemain dapat berusaha lebih keras untuk memastikan kemenangan pasukan kerana itu sasaran kami,” katanya kepada Arena Metro semalam.

Maniam turut mengesahkan terpaksa mengetepikan penjaga gol Khairulazhan Khalid dan Norazalan Razali akibat kecederaan dengan tugas itu bakal digalas pemain muda Zarif Irfan Hashimuddin.

Malah Red Giants juga hanya akan menggunakan dua pemain import, pertahanan Ugo Ukah dan penyerang Francis Forkey Doe kerana Andik Vermansyah terpaksa berehat panjang akibat kecederaan dengan Maniam masih mencari seorang pemain bagi melengkapkan kuota import.

“Saya masih mencari seorang lagi pemain di posisi penyerang dalam tempoh dua hari ini dan kemungkinan pemain import itu akan beraksi pada perlawanan kedua nanti,” katanya.

Mengulas mengenai Selangor yang terpaksa bermain di Stadium Majlis Perbandaran Selayang susulan penutupan Stadium Shah Alam bagi kerja penyelenggaraan, Maniam percaya ia bukan masalah buat anak buahnya yang sudah biasa bermain di gelanggang itu tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 January 2017 @ 12:12 PM