UKAH (kanan) dan Doe pada sesi latihan Selangor semalam.
UKAH (kanan) dan Doe pada sesi latihan Selangor semalam.

Shah Alam: Pertahanan tengah dari Nigeria Ugo Ukah tetap mahu kembali bersama Selangor meskipun menyedari pergolakan yang melanda pengurusan skuad Red Giants itu.

Ukah, 32, antara tonggak utama membantu Selangor muncul naib juara Piala Malaysia tahun lalu bagaimanapun dilepaskan sebaik kontraknya berakhir November lalu.

Dengan masalah dana musim ini serta masalah pembayaran gaji pemain November serta bonus final Piala Malaysia yang masih belum dilunaskan oleh Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), tampak sukar buat skuad kendalian P Maniam menggunakan khidmat pemain import kali ini.

Bagaimanapun di sebalik masalah itu, FAS masih berjaya meyakinkan Ukah untuk menandatangani kontrak setahun lagi.

“Saya tahu masalah yang dihadapi Selangor tapi saya percaya mereka berusaha untuk menyelesaikannya. Memang saya ada menerima tawaran dari pasukan lain tapi saya tetap menanti tawaran Selangor kerana saya selesa di sini.

“Pasukan ini kehilangan ramai pemain utama tapi kami masih ada pemain muda yang bagus. Memang saya jangkakan kami berdepan cabaran hebat musim ini tapi tak ada masalah buat saya,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan semalam.

Selain Ukah, bekas penyerang utama FELDA United Francis Forkey Doe turut menjalani latihan percubaan bersama Selangor namun Maniam masih memantau prestasinya sebelum ditawarkan kontrak.

Ukah yang pernah beraksi dengan kelab Queens Park Rangers pada 2005-2006, yakin Red Giants mampu sekurang-kurangnya mengelak daripada tersingkir ke Liga Perdana musim depan.

“Saya percaya masalah yang berlaku sekarang tidak mengganggu pemain kerana pemain yang masih di sini adalah pemain yang mahu berjuang untuk pasukan. Pengurusan menetapkan sasaran untuk terus kekal dalam liga tapi kami akan berusaha untuk mencari kedudukan yang terbaik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 January 2017 @ 8:07 AM