Ferzalfie Fauzi

Sibu: “Akhirnya beliau puji saya.” Pemain perseorangan wanita negara, Lee Ying Ying bagaikan hilang kata-kata apabila dipuji jurulatihnya Rony Agustinus selepas mengalahkan pemain Indonesia, Lyanny Alessandra Mainaky untuk menempah slot ke pusingan kedua kejohanan badminton Malaysia Masters semalam.

Langkah kanan di penampilan sulung kejohanan bertaraf Grand Prix (GP) Emas itu menggembirakan Rony yang terkenal dengan ketegasan dan serius ketika melatih pemain termasuk juara remaja dunia, Goh Jin Wei.

Ying Ying yang mencatat kemenangan 21-11, 21-18 di Stadium Tertutup Sibu mengakui akan berasa tertekan setiap kali Rony berada di belakangnya ketika berada di gelanggang.

“Saya sentiasa berharap mampu memberikan aksi cemerlang dan biar beliau lihat sendiri (kemampuan saya). Hari ini (semalam) saya gembira apabila berjaya mencatat kemenangan dan beliau memuji saya kerana menunjukkan peningkatan,” kata bekas naib juara remaja dunia 2015 itu.

Paling menyentuh perasaan Ying Ying apabila jurulatihnya itu sebelum ini tidak pernah memujinya tetapi semalam detik bersejarah buatnya yang sudah setahun berlatih bersama Rony.

“Kemenangan ini memberi keyakinan kepada saya, tapi selepas ini saya akan berdepan lawan yang lebih kuat (Hsu Ya Ching dari Taiwan). Apapun saya tetap berasa teruja kerana ini kejohanan pertama 2017 dan saya gembira mara ke pusingan kedua.

“Ya Ching seorang pemain berpengalaman saya tidak menjangkakan kemenangan tetapi berjanji akan berikan yang terbaik serta mencapai sasaran mara ke suku akhir.

“Saya juga berharap tahun ini mampu menang lebih banyak kejuaraan bertaraf Cabaran Antarabangsa untuk memudahkan saya mencapai sasaran berada antara 40 pemain terbaik dunia,” katanya yang sekarang ini menghuni tangga ke-73 dan pernah muncul juara Terbuka Romania tahun lalu.

Turut mara Jin Wei yang mengalahkan Sri Krishna Priya Kudaravalli (India) 21-12, 23-21 dan Lim Yin Fun yang menundukkan Rusydina Antardayu Riodingin (Indonesia) 21-19, 21-16.

Sementara itu, dua wakil perseorangan wanita negara, Ho Yen Mei gagal mara ke pusingan kedua apabila kalah kepada Fitriani Fitriani dari Indonesia 17-21, 13-21 dan nasib sama berlaku kepada S Kisona yang tumpas di tangan pilihan ketiga, Beatriz Corrales (Sepanyol) 15-21, 13-21.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 January 2017 @ 12:17 PM