GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi


Ampang Jaya: Tindakan seorang lelaki mengamuk dengan membuat kecoh dan menyamar sebagai polis mengundang padah apabila ditahan awal pagi hari ini.

Dalam kejadian jam 1.15 pagi itu, suspek berusia 39 tahun itu datang ke pondok pengawal Balai Polis Pandan Indah.

Bagaimanapun dia kemudian membuat kecoh di hadapan pondok pengawal terbabit.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, anggota Pasukan Petugas Khas Balai Polis Pandan Indah kemudian cuba menahannya setelah tindakan mententeramkan individu terbabit gagal.

Menurutnya, suspek sebaliknya terus membuat provokasi terhadap anggota polis bertugas dan mengaku dirinya sebagai seorang anggota polis.

"Bagaimanapun, suspek gagal untuk mengemukakan kad kuasa polis miliknya sebagai bukti.

"Dia turut bertindak agresif dan berlaku pergelutan ketika polis cuba melakukan tangkapan," katanya kepada Harian Metro hari ini.

Beliau berkata, hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek negatif dari dadah.

"Dia kini ditahan lanjut untuk siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 90 Akta Polis 1967 dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Oktober 2022 @ 9:02 PM