MAK NYAH yang ditahan dalam operasi bersepadu di Pandan Indah. FOTO ihsan polis
MAK NYAH yang ditahan dalam operasi bersepadu di Pandan Indah. FOTO ihsan polis
Muhaamad Hafis Nawawi


Ampang Jaya: Kegiatan enam mak nyah menjalankan aktiviti maksiat di Pandan Indah, di sini, mengundang padah apabila ditahan pihak berkuasa dalam operasi bersepadu semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, operasi bersepadu membabitkan pasukan dari Balai Polis Pandan Indah, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Daerah Ampang Jaya, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Majlis Perbandaran Ampang Jaya dan Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Langat diadakan pada jam 10.30 malam.

Menurutnya, operasi itu diadakan bagi membanteras kegiatan tidak bermoral dan aktiviti kumpulan mak nyah di Pandan Indah.

"Hasil daripada operasi yang dijalankan, seramai enam individu yang menjalankan aktiviti maksiat dan tidak bermoral ditahan.

"Daripada enam yang ditahan, lima individu beragama Islam diserahkan kepada pihak Jais manakala seorang individu yang bukan beragama Islam disiasat oleh pihak polis," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Mohamad berkata, hasil ujian saringan air kencing mendapati seorang individu positif dadah.

"Tindakan merobohkan bahagian dinding bilik yang dijadikan bilik sewa tanpa kebenaran pihak berkuasa tempatan juga dilakukan oleh Majlis Perbandaran Ampang Jaya mengikut Seksyen 79(3) Akta Parit & Bangunan 1974 Akta 133," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Ogos 2022 @ 1:21 PM