BARANGAN yang dirampas daripada dua lelaki dipercayai memecah pejabat. FOTO Ihsan PDRM.
BARANGAN yang dirampas daripada dua lelaki dipercayai memecah pejabat. FOTO Ihsan PDRM.
Muhaamad Hafis Nawawi


Ampang Jaya: Kegiatan dua lelaki yang aktif memecah masuk pejabat untuk menyara hidup dan membeli dadah sejak sebulan lalu, tumpas selepas diberkas polis.

Mereka berusia 38 dan 47 tahun ditahan pada kelmarin dan hari ini susulan laporan sebuah sekolah di Pandan Jaya yang dipecah masuk pada 19 Januari lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, suspek pertama warga Indonesia ditahan pada 5 petang kelmarin di Jalan Pandan Indah.

Katanya, susulan penahanan lelaki itu pihaknya menahan seorang lelaki pemastautin tetap di kawasan Plaza Tol Loke Yew, Cheras pada 3 pagi tadi.

"Turut dirampas beberapa barang kes yang disyaki digunakan dalam aktiviti jenayah itu.

"Semakan mendapati suspek mempunyai tiga rekod jenayah lampau dan kedua-duanya direman untuk siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan," katanya hari ini.

Beliau berkata, penahanan kedua-dua suspek membolehkan tiga kes jenayah di sekitar Ampang Jaya diselesaikan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 January 2023 @ 9:25 PM