KAMAL  (kanan) dan Jurulatih Jeonsa, Zamri Ismail bersama sebahagian hadiah kemenangan kejohanan bola sepak.
KAMAL (kanan) dan Jurulatih Jeonsa, Zamri Ismail bersama sebahagian hadiah kemenangan kejohanan bola sepak.

Kuala Lumpur: Pengarah Teknikal II Akademi Bolasepak Jeonsa Kamal Daut enggan cepat berpuas hati dengan pencapaian luar biasa beberapa pasukan terutamanya skuad Bawah-14 tahun di akademi itu.

Kejayaan muncul naib juara ketika pada Cabaran Piala Soong Ching Ling (SCL) di Beijing, China musim lalu bukannya penamat sebaliknya masih banyak lagi kerja-kerja yang menanti beliau serta barisan kejurulatihan yang lain.

“Di sini kami mahu melahirkan pemain bola sepak yang berakal dan bijak ketika beraksi di dalam padang. Bagi kami, kecergasan dan tahap permainan pemain cilik negara tiada bezanya dengan pemain dari negara lain.

“Namun yang membezakannya adalah cara seseorang itu berfikir dan membuat keputusan yang tepat. Itu perkara utama kami tekankan di sini dan Alhamdulillah hasilnya cukup memberangsangkan,” katanya.

Dalam memastikan pembangunan bakat dari peringkat akar umbi dapat dilaksanakan dengan lebih mampan dan berkesan, Jeonsa turut menjalinkan kerjasama dengan akademi bola sepak dari negara jiran, Indonesia National Football Academy (INFA).

“Sekiranya tiada aral, kerjasama antara kedua-dua pihak dijangka dapat direalisasikan pada tahun ini sekali gus memperlihatkan usaha kami untuk membangunkan bakat-bakat cilik adalah satu usaha serius dan berterusan.

“Sokongan dari semua pihak amatlah penting untuk kami terus kekal di landasan untuk melahirkan lebih ramai bakat-bakat berkualiti untuk mewarnai kancah bola sepak tempatan,” katanya.

Selain kejayaan membanggakan skuad B-14 pada musim lalu, Jeonsa yang ditubuhkan pada 2014 pernah menjuarai Liga Divisyen Satu FAS 2014/2015 dengan menewaskan Kota Raja FC dalam aksi final, sekali gus membolehkan mereka layak beraksi di Liga Premier.

Beberapa pemain dari pasukan itu seperti Azeddy, Naim, Zulhilmi Haikal Zamrisham, Jamalulail Hassan dan Syawalludin Fikri pula diserap ke skuad Piala Presiden Kuala Lumpur dan mereka komited mahu terus membekalkan pemain berkualiti bagi menyinari arena bola sepak tempatan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 January 2017 @ 5:09 AM