Pemilik Queens Park Rangers (QPR), Tony Fernandes
Pemilik Queens Park Rangers (QPR), Tony Fernandes
Oleh Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Pemilik Queens Park Rangers (QPR), Tan Sri Tony Fernandes mengakui Malaysia adalah 'lubuk' melahirkan pemain muda berbakat dan percaya jika ia digilap dengan sebaiknya skuad bola sepak negara mampu menyinar di peringkat antarabangsa.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) AirAsia Group Bhd itu, pihaknya bersedia untuk membantu dari segi pembangunan akar umbi dan akan bekerjasama dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi mencungkil bakat-bakat baharu dikalangan kanak-kanak.

Katanya, beliau turut melakukan perbincangan dengan pemain pertahanan Barcelona, Gerard Pique yang mungkin boleh turun padang dan berkongsi ilmu bersama pemain muda tempatan.

"Saya juga mahu fokus dan ada bercakap dengan Datuk Hamidin Mohd Amin (Presiden FAM) dan juga dengan Gerard Pique pemain Barcelona di mana Air Asia memang berminat untuk terbabit dalam pembangunan yang saya fikir cukup penting tubuhkan akademi.

"Saya harap kita dapat bekerjasama dengan FAM berkaitan pembangunan bola sepak di masa akan datang," katanya yang sebelum ini turut terbabit dalam kancah Liga Malaysia dengan penyertaan pasukan Petaling Jaya Rangers pada 2017 lalu.

Beliau turut mengakui amat mengagumi sokongan ibu bapa yang sanggup berpanas hujan pada hujung minggu semata-mata menunggu anak-anak mereka berlatih dengan akademi atau kelab bola sepak di sekitar Lembah Klang.

"Saya fikir ia cukup mengujakan kerana apa setiap Sabtu saya kagum melihat ibu bapa datang melihat anak-anak (bermain bola) seperti yang sering terdapat di Amerika.

"Semua keluarga datang menyokong anak-anak dan ia satu petanda yang baik. Kami harap dapat bekerjasama terutama dalam pembangunan kerana kita ada bakat dan bagus di sini," katanya.

Ketika ini, hampir sembilan pemain muda negara berjaya menerima kontrak profesional dan diterima masuk beraksi bersama akademi serta pasukan pembangunan di beberapa negara di Eropah.

Antaranya Aqil Arazi Aziz yang menyertai kelab divisyen lima Perancis, AS Cannes selain Muhammad Diniz Irwan yang kini beraksi buat pasukan kedua, Eddersheim FC dalam divisyen lima liga Jerman dan Omar Raiyan Kama Azlan dengan kelab Red Star Belgrade, Serbia.

Manakala empat lagi pemain iaitu Allee Putra Azril, Aniq Asri Nasharudin Elias, M Devekumaran dan Ahmad Mubashshir Azizi terpilih menyertai FC Malaga City, Sepanyol.

Selain itu, Luqman Hakim Shamsudin adalah pemain pertama Malaysia yang berjaya beraksi di liga utama Eropah apabila menandatangi kontrak lima tahun dengan KV Kortrijk di Belgium.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Mac 2021 @ 2:42 PM