Kuala Lumpur:Seramai 12 pemain daripada Liga M3 terpilih bagi menjalani latihan selama seminggu bersama pasukan Liga Perdana Inggeris, Wolverhampton Wanderers FC (Wolves) di England menerusi program 'Dare to Dream'.

Liga Bolasepak Amatur (AFL) menerusi kenyataan hari ini memaklumkan 12 pemain itu antara lain membabitkan dua pemain UiTM United yang muncul juara Piala Al Ikhsan 2023 selepas dipilih secara merit pada sesi pemilihan anjuran MBSB Bank dan badan induk bola sepak itu minggu lalu

Program 'Dare to Dream' adalah kesinambungan kepada saingan Liga M3 yang kini dikenali sebagai Liga Kejuaraan MBSB Bank dan kumpulan pemain berkenaan dijangka berlepas ke England sama ada pada penghujung Januari atau awal Februari depan.

Menurut kenyataan itu, sesi pemilihan dikendalikan Pengurus Projek Antarabangsa Wolves, Joe Hunt, jurulatih bola sepak dan pendidikan Ryan Griffiths serta jurulatih pembangunan bola sepak pasukan itu Cody Harper.

"Pada sesi pemilihan berkenaan, pemain dikehendaki melepasi enam ujian (halangan) ditetapkan meliputi segala aspek bola sepak termasuk kepantasan, ketangkasan, kemahiran teknik serta simulasi perlawanan sebenar," menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi AFL Mohd Raimi Fakri Mohd Fuad berharap 12 pemain dipilih dapat manfaatkan peluang sebagai nilai tambah dałam perjalanan karier masing-masing sebagai pemain bola sepak.

"Inilah usaha ingin ditonjolkan dalam mengetengahkan bakat-bakat muda dan terpendam dalam lingkaran atau rantaian bola sepak tempatan dan tidak keterlaluan jika saya katakan pada masa akan datang pemain yang dipilih ini akan menggalas cabaran pasukan kelab mahupun kebangsaan," katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif MBSB Bank Datuk Nor Azam M Taib pula berkata pihaknya berbesar hati dapat menjalinkan kerjasama dengan AFL dan Wolverhampton Wanderes FC melalui kolaborasi itu dalam memilih pemain yang akan menjalani latihan di Compton Park Training Ground.

"Kami yakin pendekatan ini akan dapat membantu mengetengahkan bakat-bakat muda dan akar umbi bola sepak untuk lebih berjaya dan mempunyai anjakan paradigma ke peringkat antarabangsa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 November 2023 @ 8:59 PM