WALAUPUN  kurang popular namun kejayaan yang dicapai memberangsangkan.
WALAUPUN kurang popular namun kejayaan yang dicapai memberangsangkan.

Kuala Lumpur: Penubuhan Akademi Bolasepak Jeonsa mungkin tidak glamor seperti akademi lain seperti Akademi Bolasepak Frenz United mahupun Akademi Tunas Lagenda namun kehadirannya diyakini mampu membantu negara dalam melahirkan lebih ramai pemain cilik berkualiti tinggi.

Dianggap ‘kilang pemain’ khususnya bagi pelajar-pelajar sekolah di sekitar Lembah Klang itu, akademi berkenaan menekankan misi dan visi jelas untuk melahirkan ‘The Thinking Player’ seiring dengan kemajuan bola sepak moden yang pantas dan terbuka.

Walaupun kewujudan Jeonsa baharu saja memasuki tahun kedua, pelbagai kejayaan berjaya dilakar pasukan di bawah akademi itu yang mempunyai 100 pemain yang dipecahkan kepada empat pasukan iaitu skuad utama Jeonsa, skuad Bawah 20 (B-20) tahun, skuad B-16 dan skuad B-14.

Namun pencapaian paling membanggakan hadir daripada skuad B-13 pada musim lalu apabila kelompok pemain cilik Jeonsa berjaya mengejutkan beberapa pasukan Asia pada Cabaran Piala Soong Ching Ling (SCL) di Beijing, China dengan muncul naib juara.

Dalam saingan final itu, skuad kendalian Kamal Daut tewas 0-3 kepada pasukan B-13 tahun kebangsaan Laos di mana Thailand, Indonesia, Kemboja, Vietnam, Myanmar dan beberapa kelab tuan rumah turut menyertai kejohanan itu.

Menurut ketua pasukan Aiman Hafiz Rushdi, pilihannya menyertai Jeonsa pada awal musim lalu umpama ‘jalan lurus’ yang bakal menyiapkan dirinya untuk menjadi seorang pemain bola sepak berkelas minda pertama.

Katanya, falsafah Jeonsa yang menekankan akademik sebagai teras pertama dan meletakkan prestasi bola sepak di tangga kedua membuatkan rata-rata pemain beraksi menggunakan ‘IQ’ untuk menembusi pertahanan lawan.

“Pasukan Jeonsa amat berbeza kerana kami bermain bola sepak moden yang menekankan hantaran-hantaran pendek selain kecepatan dalam membuat keputusan ketika di atas padang.

“Hasilnya cukup memberangsangkan apabila kami berjaya muncul juara dalam penampilan peringkat antarabangsa pertama dengan memenangi tempat kedua.

“Malah, saya percaya impian untuk bergelar pemain kebangsaan juga makin hampir dan saya bertekad untuk mewakili Harimau Malaysia sekali gus mengharumkan nama negara. Saya harap boleh jadi pemain import di Eropah suatu hari nanti,” katanya yang meminati Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari.

Bagi rakan sepasukannya pula, Naufal Hadiss, pasukan B-14 itu bakal mengharungi cabaran lebih getir pada musim ini apabila mereka dijadualkan bermain dalam dua kejohanan luar iaitu Piala Super Dubai dan Piala Gothia.

Jelasnya, persiapan pasukan ketika ini cukup tenang dan rata-rata pemain sudah tidak sabar untuk cuba melakar sejarah kedua dan ketiga dalam kedua-dua kejohanan itu nanti.

“Selepas memenangi naib juara musim lalu, memang harapan pihak pengurusan dan keluarga cukup tinggi di bahu kami untuk melakukan kejutan sekali lagi.

“Namun berkat tunjuk ajar dan nasihat barisan jurulatih dan pengurusan, kami langsung tidak tertekan malah suasana dalam pasukan cukup harmoni dan baik sekali.

“Saya harap kami dapat mencabar trofi pada dua kejohanan itu nanti sekali gus ia mengharumkan nama Malaysia di mata dunia,” katanya Naufal yang beraksi di posisi penyerang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 January 2017 @ 5:10 AM