Azlan Muhammad Zain dan Mohd Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Akibat nila setitik rosak susu sebelanga. Itu ungkapan bekas pemain Selangor dan Sabah, Shahril Arsat yang turut berkongsi rasa bimbang mengenai sikap sesetengah pengusaha akademi bola sepak yang wujud demi mengaut keuntungan semata-mata hingga sanggup melupakan objektif dan misi utama mencungkil bakat-bakat untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.

Shahril yang kini bergiat aktif dalam menguruskan Akademi Bolasepak Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ Academy) berkata, peratusan akademi bola sepak yang benar-benar serius dan komited pada amanah diberikan lebih banyak berbanding akademi yang hanya memikirkan soal untung, bahkan bilangannya boleh dikira dengan jari.

“Kalau tidak ada langsung, itu tipulah, memang ada (akademi mencari untung) cuma bilangan mereka begitu sedikit kalau nak di bandingkan dengan akademi yang betul-betul laksanakan tanggungjawab. Isu ini timbul apabila akademi yang sedikit itu buat hal, akibatnya pengusaha lain pula mendapat kesan buruk daripada perbuatan mereka.

“Bagi saya tidak adil nak salahkan semua akademi kerana ada juga pengusaha yang menggunakan duit poket sendiri walaupun tahu risiko yang akan ditanggung. Belum lagi buka cerita ibu bapa yang tidak membayar yuran atau hilang begitu saja, namun demi keseronokan dan mengisi masa lapang kanak-kanak, pengusaha teruskan juga disebabkan minat,” katanya.

Namun bagi Shahril, persoalan yang sepatutnya dibangkitkan adalah mengenai soal kelonggaran pihak berkuasa dalam memantau segala aktiviti akademi kerana menurutnya apabila semua pihak berganding bahu terutama dari Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan persatuan negeri, segala masalah yang timbul dapat diselesaikan.

Menerusi pendedahan Arena Metro sejak Isnin lalu, pelbagai pihak tampil mendedahkan rasa bimbang dengan hala tuju penubuhan akademi yang semakin ‘berlambak’ di seluruh negara dengan bermotifkan keuntungan semata-mata.

Ibu bapa mendakwa pelaburan berjumlah ratusan ringgit setiap bulan tidak berbaloi apabila mendakwa anak mereka dipinggirkan kerana pihak akademi lebih memberi fokus kepada pemain yang sedia bagus serta sanggup mengambil orang luar untuk menyertai pertandingan demi mengejar kemenangan.

Seorang lagi bekas pemain Selangor, Anuar Abu Bakar turut senada dengan bekas rakan sepasukannya itu apabila mendakwa kurangnya pemantauan berkesan pihak berkenaan menjadi punca utama kepada lambakan akademi.

“Bagi saya, pihak seperti FAM dan KBS (Kementerian Belia dan Sukan) wajib memainkan peranan masing-masing secara proaktif agar dapat menyalurkan segala bantuan dan menyelesaikan hal-hal berbangkit lebih mudah.

“Kita perlu ingat dari usaha akademi inilah akan lahirnya pemain-pemain yang dapat dibawa ke peringkat lebih tinggi yang akhirnya bakal menyarung jersi negara suatu hari nanti,” katanya yang kini terbabit dalam menjalankan akademi bola sepak Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA Academy).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Mei 2015 @ 9:44 AM