NIEZAM Zaidi. FOTO IG niezamzaidi
NIEZAM Zaidi. FOTO IG niezamzaidi
Najiy Jefri

Kuala Lumpur: "Saya minta maaf jika ada salah dan silap pada kalian semua," kata pelakon Niezam Zaidi yang terpalit dengan isu penyalahgunaan dadah, Ahad lalu.

Niezam yang mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Kangsar, Perak, hari ini atas tuduhan memiliki dadah menganggap apa yang berlaku mempunyai hikmah tersendiri.

"Alhamdulillah, syukur pada Allah di atas apa yang terjadi dan jutaan terima kasih juga pada kalian semua yang selalu mendoakan saya selama ini.

"Semoga Allah merahmati kalian. Buat masa sekarang, saya simpan apa-apa komen mengenai isu ini," katanya menerusi satu hantaran di Instagram hari ini.

Menurut Niezam, dia juga ingin memohon maaf kepada rakan-rakan terdekat termasuk media yang menghubunginya.

"Saya minta maaf tidak dapat membalas satu-satu komen sahabat handai, media, dan rakan-rakan seperjuangan melalui mesej peribadi, WhatsApp, panggilan dan sebagainya.

"Semoga kalian semua sihat sentiasa dan diberkati serta dirahmati,"katanya.

Sementera itu, Niezam ketika dihubungi menerusi WhatsApp enggan memberikan sebarang komen mengenai perkara itu.

"Maaf, buat sementara waktu nak 'remain silent'. Insya-Allah nanti dah okay, saya 'update' ya. 'Sorry' sangat-sangat," katanya menerusi WhatsApp.

Selain Niezam, pengarah filem, Mohd Latiff Zami, 49, dan penolong pengarah, Saiful Zaidrin Ismail, 46, turut mengaku bersalah atas pertuduhan sama.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Niezam didapati ada dalam milikannya 1.15 gram dadah berbahaya jenis Cannabis di rumah di Taman Chandan Putri, di sini, 7.15 pagi, 10 Oktober lalu.

Sementara itu, Mohd Latiff dan Saiful Zaidrin masing-masing didapati memiliki 0.3 gram dadah jenis Cannabis dan 0.38 gram Methamphetamine pada waktu, tarikh, dan lokasi sama.

Pertuduhan dibaca mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 ke atas Muhamad Niezam dan Mohd Latiff yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Selepas peguam yang diwakili ketiga-tiga mereka memohon untuk jumlah jaminan diringankan, Majistret Mohd Shazmeer Zamhari akhirnya menetapkan jaminan RM3,000 kepada Muhamad Niezam, RM2,600 kepada Mohd Latiff dan RM3,200 kepada Saiful Zaidrin yang masing-masing dengan seorang penjamin.

Mohd Shazmeer juga menetapkan 1 Disember depan untuk sebutan semula bagi ketiga-tiga tertuduh sementara menunggu laporan kimia.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Oktober 2021 @ 8:12 PM