Sissy Iman dan Naim Daniel.
Sissy Iman dan Naim Daniel.
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur : Peserta program Famili Duo, Sissy Iman memohon maaf kepada gandingannya dalam program itu, Naim Daniel kerana terpaksa berdepan dengan situasi yang berlaku sekarang.

Sissy dalam hantaran di Instagram berkata, sebelum pertandingan bermula, mereka sudah berjanji untuk bersama-sama menghadapi apa saja kemungkinan.

Bagaimanapun, dia meminta maaf terhadap Naim yang juga sepupunya kerana tidak dapat menjadi sekuat Naim.

"Saya minta maaf sebab awak kena hadap semua pertanyaan seorang diri. Saya minta maaf atas semua panggilan dan mesej awak yang saya tak jawab sebelum ni sedangkan semua ini sepatutnya menjadi tanggungjawab kita bersama.

"Tak semena-mena awak yang kena ambil alih segalanya sekarang," tulisnya.

Sissy juga meminta maaf kepada rakan-rakan termasuk media yang cuba menghubunginya.

"Sissy minta maaf juga kepada semua rakan-rakan media dan rakan-rakan yang saya tinggalkan di dalam gelap, terperangkap di dalam gelap sama seperti saya.

"Jangan risau. Insya-Allah saya akan kembali. Beri saya sikit saja masa lagi ya? Sayang semuanya," tulisnya.

Dalam hantaran sama, Sissy juga turut berkongsi bagaimana dia hilang semangat untuk meneruskan langkahnya sebagai peserta.

"Hari ini hari Rabu. Selama enam minggu sebelum ini, hari inilah hari di mana kita dah putuskan konsep persembahan.

"Kita langgar waktu dengkur kita dengan perbincangan dan pastikan 'deck' yang kita buat bersama dah siap supaya produksi dah boleh bentangkan kepada props dan penata gaya dah boleh cari baju.

"Dan hari inilah hari yang sepatutnya kita dah dapat audio daripada pengarah muzik selepas selesai latihan dengan band yang selalunya hari Isnin, kita dah siap susun (muzik).

"Tapi minggu ini, dalam otak saya kosong. Tak ada lagu. Tak ada visual," tulisnya.

Terdahulu, Sissy menerima kritikan daripada juri, Mas Idayu ketika konsert minggu keenam program Famili Duo dan dianggap keterlaluan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 January 2023 @ 4:11 PM