SEKOLAH Rendah Tengku Ampuan Intan, Kuala Berang ditenggelami air selepas hujan lebat. FOTO Ghazali Kori
SEKOLAH Rendah Tengku Ampuan Intan, Kuala Berang ditenggelami air selepas hujan lebat. FOTO Ghazali Kori
BERNAMA

Kuala Berang: "Mak cik takut... takut sangat-sangat. Dok rajin (tak pernah) air naik gini (macam ni)," luah warga emas Saadiah Ismail, yang terpaksa meninggalkan rumahnya setelah ia dinaiki air, awal malam tadi.

Saadiah, 80, anak jati Kampung Pasir Simpul, di sini berkata, kejadian banjir yang berlaku semalam tidak pernah dialaminya sebelum ini dan tidak pernah berlaku di kampung tersebut.

"Dok temu lagi gini macam ni (tak pernah jumpa keadaan begini)... menangis mak cik masa tinggalkan rumah tadi.

"Air sangat laju dan deras, mak cik harung air paras dada dengan suami mak cik," katanya ketika ditemui di sini.

Saadiah berkata, air yang melimpah dari Sungai Telemong tersebut turut menyebabkan beberapa kawasan kampungnya yang selama ini tidak pernah dinaiki air terjejas.

"Mak cik tak sempat nak selamatkan barang sebab air naik cepat. Hari ini hujan tak lebat sangat tapi air naik mendadak... mungkin air belah hulu turun.

"Lepas solat maghrib mak cik terus pindah ke masjid... tapi masjid juga dipenuhi air, mujurlah tentera mari selamatkan kami dan pindahkan ke kampung sebelah," kata warga emas itu.

Abdullah Hamzah, 73, yang juga anak jati kampung tersebut berkata, kejadian itu mengingatkannya kepada peristiwa banjir buruk pada 1986.

"Banjir tahun 1986 tu teruk dah... tapi kali ini lagi teruk sampai kami tak tahu nak pergi mana lagi... pindah ke masjid, masjid pulak naik air.

"Air memang sangat laju, bukan air sungai yang jernih melimpah tapi air ini memang keruh dan berwarna merah," katanya.

Abdullah berkata, air yang mula melimpah sekitar 8 malam naik mendadak hingga menyebabkan penduduk yang berpindah ke masjid tersebut terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan lain selepas masjid tersebut juga dinaiki air.

"Huru-hara kejap keadaannya... mujurlah tentera datang pindahkan kami ke Sekolah Kebangsaan Kuala Ping. Tapi, sekolah ni pun naik air cuma nasib baik bangunan ini tinggi.

"Selama ni kita tengok je dalam televisyen tempat orang teruk, tapi malam ni kita sendiri alami," katanya.

Sementara itu, Pegawai operasi Rejimen 512 Askar Wataniah Kem Padang Midin, Mejar Mohd Saberi Md Noor berkata, pihaknya menggerakkan 30 anggota dan dua pegawai untuk membantu kerja menyelamat dan pemindahan mangsa banjir di daerah tersebut.

"Kami juga menggerakkan dua trak tatra tujuh tan dan dua trak jenis handalan tiga tan di daerah ini.

"Alhamdulillah, kerja-kerja menyelamat mangsa di kampung ini berjalan lancar dan kami turut memindahkan warga emas, kanak-kanak serta ibu mengandung," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 January 2017 @ 11:38 AM