ANTARA babak dalam iklan raya popular berjudul Mangkuk Tingkat Mak Teh.
ANTARA babak dalam iklan raya popular berjudul Mangkuk Tingkat Mak Teh.
Ridzuan Abdul Rahman

Kuala Lumpur: "Kalau bukan kerana Covid-19, rasanya saya nak pergi jumpa dia. Saya teringin sangat nak jumpa. Dia adalah simbol kegigihan dan kesetiaan seorang wanita," kata Fatimah Abu Bakar, yang memerankan watak Mak Teh dalam iklan raya popular berjudul Mangkuk Tingkat Mak Teh.

Iklan terbitan syarikat pengeluar produk jenama Saji itu tular kerana dihasilkan berdasarkan kisah benar seorang warga emas bernama Saadiah Abdullah.

Saadiah yang tinggal di Gerik, Perak sering menghantar makanan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik tempat arwah suaminya bekerja.

Iklan berdurasi 5 minit 28 saat yang disiarkan di saluran YouTube Saji Malaysia mendapat pujian ramai kerana paparannya yang amat menyentuh hati dan mengusik emosi.

Fatimah atau lebih mesra dengan panggilan Cikgu Fati yang sering terbabit dalam bengkel lakonan berkata, jalan cerita asal terpaksa ditukar atas sebab tertentu.

"Pengarahnya Bob Husaini daripada Tangerine Pictures Sdn Bhd buat perubahan kerana rasanya sukar untuk dapat kebenaran penggambaran di balai polis dalam situasi sekarang.

"Jadi, suami Mak Teh digambarkan sebagai pemandu ambulans. Penggambaran hanya ambil masa sehari di Kuang.

"Watak ini memerlukan saya naik basikal. Memang boleh bawa basikal tapi dah lama tak buat," katanya.

Cabaran yang perlu dilalui Fatimah ialah mengayuh basikal naik bukit untuk babak ke klinik.

"Kalau tiada momentum memang susah. Untuk kali pertama saya hampir nak jatuh. Pengarah pun gemuruh kerana jalan penuh dengan lori.

"Apabila iklan ini tular, saya amat bersyukur kerana penonton dapat rasa tujuan Saji buat cerita ini untuk mengingati orang yang kehilangan insan tersayang.

"Pada saya ini adalah contoh cinta abadi. Suami makcik Saadiah meninggal akibat ditembak komunis," katanya.

Dalam tempoh itu, Saadiah tanpa kenal penat mengayuh basikal dari rumahnya di Kampung Padang, Kuala Kenderong ke IPD Gerik sejauh lima kilometer setiap hari bagi menghantar makanan kepada petugas di situ walaupun suaminya sudah meninggal dunia.

"Mak Teh pula baru lima tahun masak dan hantar makanan. Orang ingat dia tak betul. Mereka layan dan ingat dia delusional. Rupanya dia bukan begitu dan tahu apa yang dibuat. Dia rindu arwah suaminya dan buat sahaja perkara ini. Dalam dialog pun ada sebut dia boleh menghilangkan rindu untuk arwah suaminya," katanya.

Menurutnya, semasa penggambaran dia langsung tidak mengetahui cerita sebenar di sebalik iklan itu.

"Saya hanya diberitahu iklan ini berdasarkan kisah sebenar. Saya ambil rasa dari apa rasanya bila rindu terhadap orang yang kita sayang.

"Apabila diberitahu, saya pun buat carian untuk cari cerita Makcik Saadiah. Ramai kawan-kawan saya termasuk yang tinggal di London pun menangis tengok iklan ini.

"Saya bernasib baik dapat pasangan lakon yang hebat iaitu Bront Palarea. Walaupun kemunculannya sekejap, dia memberi sekali gus memudahkan penggambaran," katanya.

Iklan yang turut menampilkan Sara Ali, Firdaus Karim dan Azman Hassan sudah meraih lebih sejuta tontonan selepas seminggu tayangan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Mei 2021 @ 11:17 AM