JULIANO Mineiro.
JULIANO Mineiro.
Aziman Rosdi

Petaling Jaya: Pemain Timor Leste kelahiran Brazil Juliano Mineiro dijangka memperkuatkan Selangor musim ini selepas pemain tengah menyerang itu mengikat kontrak hingga Jun depan bagi mengambil tempat Andik Vermansyah buat sementara waktu.

Ketika ini Selangor hanya boleh menurunkan tiga pemain import iaitu pertahanan Ugo Ukah, penyerang Francis Forkey Doe dan Victor Astafie manakala Andik masih lagi berada di Indonesia menjalani pemulihan sebelum dijangka kembali beraksi Mei ini.

Menurut jurulatih Red Giants P Maniam, mengikut perancangan awal Mineiro, 30, yang sebelum ini mewakili kelab Jepun Kashiwa Reysol hanya akan bersama pasukan sementara menunggu Andik kembali pulih.

“Andik dijangka pulih Mac ini dan kemudian dia memerlukan masa untuk mendapatkan kecergasan semula. Buat masa ini kami bercadang untuk mengambil Miniero sementara menunggu Andik datang semula.

“Kami juga akan menilai perkembangan Andik selepas ini, sama ada akan terus menggunakan Mineiro, itu bergantung kepada perbincangan dengan pihak pengurusan.

“Saya belum pasti sama ada akan menurunkan Astafie dan Mineiro untuk perlawanan dengan Melaka United (Jumaat ini) kerana saya mahu menguji mereka dulu.

“Saya tidak bimbang kerana pemain tempatan juga beraksi baik ketika mengalahkan Pulau Pinang (2-0) sebelum ini,” katanya kepada Arena Metro.

Sementara itu Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) Rosman Ibrahim mengesahkan pihaknya kini hanya menantikan Sijil Perpindahan Pemain (ITC) dari kelab lama Mineiro dan laporan perubatan bagi melengkapkan proses pendaftaran.

“Andik mengambil masa agak lama untuk pulih jadi kami cuba mencari pengganti buat sementara. Ketika ini kami hanya menunggu ITC dan laporan perubatan Mineiro sebelum dia dapat bersama Selangor,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 January 2017 @ 11:13 AM