AFP

London: Penjaga gol Chelsea Thibaut Courtois percaya kunci kepada kebangkitan prestasi mereka bergantung kepada pertahanan yang hanya bolos dua gol sepanjang 12 perlawanan yang memberikan kemenangan berturut-turut buat kelab itu.

Pendahulu Liga Perdana Inggeris itu berdepan Stoke City di Stamford Bridge malam ini dengan tekad mencatat kemenangan liga ke-13 berturut-turut selepas kali terakhir tewas 0-3 kepada Arsenal.

Biarpun penyerang Diego Costa dan Eden Hazard, selain N’Golo Kante pemain tengah yang memberi inspirasi menerima pujian sejak beberapa minggu kebelakangan, Courtois berkata rombakan di barisan pertahanan menjadi asas peningkatan prestasi.

Dia percaya posisi itu mengalami perubahan hasil keputusan Conte menggunakan tiga pertahanan selepas tewas kepada Arsenal.

“Bolos dua gol sesuatu yang menakjubkan, ” kata Courtois.

“Selepas perlawanan menentang Arsenal, kami perlu mencipta sesuatu yang baru dan melakukannya dengan sempurna, banyak kerja keras dilakukan ketika latihan. Tidak semestinya formasi baru akan menjadi.

“Sebagai penjaga gol, ia tidak banyak berubah tapi kini kami lebih mantap di bahagian pertahanan berbanding permulaan musim, lebih sukar buat lawan membolosi kami dan apabila mereka cuba menjaringkan gol, saya cuba menyelamatkannya.

“Ada pasukan lain yang cuba menewaskan kami dengan formasi sama tapi jika ia berkesan seperti yang kami lakukan, ia sepatutnya sukar dibolosi dan kami banyak melakukannya ketika latihan.

“Itulah sebabnya mengapa kami terus mencatat kemenangan ketika ini dan akan terus mengekalkannya, kita lihat di mana kedudukan kami selepas beberapa minggu dan bulan dan berharap akan berjuang memburu kejuaraan.”

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Disember 2016 @ 5:08 AM