Keadaan kereta yang dipandu Vincent Ooi yang terbabas serta merempuh kenderaan lain dan gerai di pusat bandar Hatyai, petang semalam. - Foto Bernama
Keadaan kereta yang dipandu Vincent Ooi yang terbabas serta merempuh kenderaan lain dan gerai di pusat bandar Hatyai, petang semalam. - Foto Bernama
BERNAMA

Hatyai: Seorang rakyat Malaysia cedera parah selepas kereta dipandunya terbabas merempuh lima kenderaan lain di pusat bandar Hatyai, semalam.

Penolong Ketua Polis Hatyai Leftenan Ranon Surawit berkata, kejadian yang berlaku pada 3 petang (waktu tempatan) itu turut menyebabkan empat lelaki dan seorang wanita rakyat tempatan cedera parah.

Rakyat Malaysia yang cedera parah itu katanya, dikenali sebagai Vincent Ooi, 47, pemegang lesen memandu antarabangsa.

Menurutnya, saksi kejadian melihat kereta terbabit dipandu laju sebelum terbabas dan merempuh kenderaan serta gerai yang di tepi jalan raya.

Kesemua mangsa termasuk rakyat Malaysia dikejarkan ke Hospital Radyindee, Hospital Hatyai dan Hospital Universiti Songkhla Nakharin dan menurut Ranon, polis masih menyiasat punca kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Disember 2016 @ 12:01 AM