TROFI EA Champions Cup.
TROFI EA Champions Cup.
TETAMU khas yang hadir.
TETAMU khas yang hadir.
UNITED Console (Eropah).
UNITED Console (Eropah).
MALAYSIA Tigers.
MALAYSIA Tigers.
PASUKAN Impunity dari Singapura.
PASUKAN Impunity dari Singapura.
PASUKAN Adidas B muncul juara.
PASUKAN Adidas B muncul juara.
BARISAN pemenang.
BARISAN pemenang.
Hazril Md Nor


Berpeluang diterbangkan ke Thailand oleh Garena untuk menyaksikan Kejohanan EA Champions Cup (EACC) di Bangkok, Thailand pada 17 hingga 18 Disember lalu, penulis akui lapangan e-sukan kini selangkah ke hadapan.

Pertandingan FIFA Online 3 itu mengumpulkan lapan pasukan dari Indonesia, Thailand, Singapura, Vietnam, China, Korea Selatan, Eropah dan Malaysia berentap merebut wang tunai terkumpul AS$500,000 (RM2,239,250).

Pasukan negara diwakili dua anak muda, Mun Kiat Gan (RippedJean), Md Imran Sah Md Sayd Ahamed (John Malaya) dan juara Kejohanan PC FIFA World Cyber Games Asia 2012, Hoe Sheng Chew (eMasterVin) terpaksa akur dengan kegagalan di peringkat kelayakan apabila tewas menentang Thailand serta Eropah.

Meskipun tidak berjaya mara ke peringkat separuh akhir, Malaysia Tigers sudah lakukan yang terbaik membawa harapan negara.

Penulis menemu bual dua anak muda kita, Imran Sah dan Mun Kiat untuk menceritakan pengalaman mereka menyertai kejohanan EACC.

Ubah perspektif

Menceritakan pembabitannya dalam e-sukan, Imran Sah mula bermain FIFA Online sejak tingkatan tiga.

“Saya meminati permainan ini kerana ia mudah dimainkan dan kena dengan jiwa saya yang menyukai sukan bola sepak.

“Disebabkan itu, saya mula serius dan cuba kembangkan bakat dengan menyertai pertandingan dianjurkan Garena. Kejohanan Nasional musim pertama dan kedua adalah percubaan saya untuk bersinar dalam lapangan ini.

“Alhamdulillah, selepas sekian lama menceburi bidang ini, saya dilamar menyertai kelab Royal Flush. Dari situ, saya mengenali rakan yang bermain ‘game’ secara kompetitif dan menaikkan semangat saya untuk terus bersaing,” katanya.

Menurutnya, pengalaman pertama menyertai kejohanan berprestij seperti EACC diakui berbeza dan peluang yang jarang diperoleh.

“Sebenarnya berdebar tapi pada masa sama gembira kerana pada usia muda, kita dapat rasa ia pencapaian untuk diri sendiri. Kita juga bawa harapan negara untuk menang di negara asing.

“Ibu dan ayah pula tak putus beri sokongan selepas melihat kesungguhan saya untuk terus bersaing dan buktikan kepada mereka permainan video bukan aktiviti sia-sia.

“Ketika di atas pentas, ada sedikit rasa gugup bertanding di depan penonton yang ramai. Perlu kuatkan mental lebih-lebih lagi apabila berdepan pasukan Thailand yang mempunyai ramai penyokong. Apa-apa pun saya bersyukur dan berpuas hati walaupun dapat menyumbang dua mata saja,” katanya.

Cabar diri sendiri

Lain pula bagi Mun Kiat Gan, yang menyifatkan kejohanan EACC adalah satu peluang kepada dirinya bertanding dengan pasukan luar yang lebih berpengalaman.

“Sebenarnya harapan kami adalah untuk ke peringkat separuh akhir. Namun, saya akui pengalaman yang masih ‘hijau’ dan rasa gugup sedikit sebanyak mempengaruhi corak permainan saya.

“Apa-apa pun saya bersyukur kerana kami sudah berusaha sampai ke tahap ini. Ia bukan laluan mudah apabila terpaksa berdepan pasukan ranking tertinggi dalam permainan.

“Dari sudut lain, kemajuan e-sukan di peringkat Asia membuka mata ramai terutama di negara kita dengan penubuhan kelab e-sukan di universiti dan penganjuran pertandingan secara berkala. Itu pendekatan positif yang patut dipuji,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Disember 2016 @ 10:12 AM