Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Kejohanan e-sukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Fifa 21 Challenge menyaksikan pelajar Kolej Komuniti berusia 22 tahun muncul juara dengan membawa pulang wang tunai berjumlah RM5,000.

Muhammad Saiful Muqit yang mewakili pasukan Pulau Pinang mengalahkan 2,048 peserta dari 13 buah negeri dan tiga peserta dari Wilayah Persekutuan pada kejohanan akhir yang diadakan secara atas talian.

Naib juara pula dimenangi Muhammad Adli Ilias dari Wilayah Persekutuan Putrajaya yang meraih RM3,000 manakala Muhammad Imran Shareme mewakili Melaka menduduki tempat ketiga (RM2,000).

Saiful berkata, dia mula bermain permainan Fifa sejak berusia 17 tahun lagi seterusnya bergiat aktif dalam sukan berkenaan menerusi pertandingan peringkat kebangsaan.

"Saya pernah muncul juara dalam satu pertandingan Fifa 2020 anjuran sebuah syarikat televisyen swasta tahun lalu dengan membawa pulang h RM3,000. Saya mengetahui mengenai kejohanan SPRM Fifa 21 Challenge ini daripada laman sosial Facebook dan semasa menjadi peserta banyak juga info menarik diketahui termasuk bagaimana kita boleh melaporkan rasuah dengan mudah menerusi aplikasi dalam talian MACCMobile," katanya.

Kejohanan SPRM Fifa 21 Challenge yang julung kalinya diadakan bermula 1 Julai lalu dicetuskan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Azam Baki bagi mendekati kumpulan belia khususnya peminat e-Sukan sekali gus menggunakan platform ini bagi menyebar mesej antirasuah.

Bertemakan Belia Menentang Rasuah, kejohanan secara dalam talian itu disertai 2,048 atlet e-sukan sebagai kesinambungan program PUBG Mobile i-Challenge yang pernah dianjurkan oleh SPRM sebelum ini bagi mendekati kumpulan belia yang meminati e-sukan.

Pertandingan itu diadakan dengan kerjasama Team Haq Esports Club yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM20,000 dan terbuka kepada semua peminat e-sukan dari seluruh negara.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Julai 2021 @ 5:00 PM