FOTO ihsan polis
FOTO ihsan polis
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Lelaki, 21, ditemui mati di tepi jalan di Persiaran Dutamas berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Kiaramas, Kuala Lumpur dipercayai akibat diserang sawan kira-kira jam 12 tengah hari semalam.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner R Munusamy berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam pada jam 12.12 tengah hari yang memaklumkan menemui penemuan mayat lelaki sebelum mengarahkan anggota polis peronda ke lokasi kejadian.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, anggota bertugas mendapati mangsa sudah meninggal dunia dan mayatnya ditutup dengan kain oleh orang awam.

"Hasil siasatan awal mendapati mangsa dipercayai diserang sawan ketika kejadian," katanya.

Munusamy berkata, lelaki itu yang menetap di Segambut Dalam, di sini, mempunyai rekod penyakit berkenaan sejak empat tahun lalu dan mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

"Mayat mangsa dibawa ke HKL untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Disember 2016 @ 12:56 PM