Kuala Lumpur: Dua lelaki, seorang daripadanya bersenjatakan pistol melarikan beberapa jam tangan mewah terpakai dalam rompakan di premis menjual barangan kemas dan jam tangan mewah di pusat beli-belah di Kepong.

Bagaimanapun, dalam kekalutan ketika melarikan diri, mereka tertinggal senjata api yang digunakan.

Ketua Polis Daerah Sentul, ACP R Munusamy, berkata rompakan berlaku ketika keadaan lengang kira-kira 3 petang, Sabtu, 10 Disember.

“Ketika kejadian itu hanya terdapat seorang juruwang lelaki yang juga anak pemilik premis berkenaan.

“Dia didatangi dua lelaki berpakaian baju T-shirt lengan panjang dan bertopi ketika tiada pelanggan lain di kedai itu.

“Seorang daripada mereka mengacukan pistol kepada juruwang berkenaan dan mengugut mangsa supaya tidak menjerit,” katanya ketika dihubungi, malam tadi.

Munusamy berkata, mangsa diarahkan supaya membuka almari kaca mengandungi jam tangan mewah terpakai.

Katanya, selepas suspek mengambil beberapa jam tangan mewah, kedua-duanya melarikan diri menaiki Mercedes Benz.

Munusamy berkata, pihaknya masih menyiasat sama ada senjata api yang ditinggalkan suspek pistol sebenar atau tiruan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Disember 2016 @ 12:25 AM