Oleh Nabihah Kamal


Kuala Lumpur: Budak lelaki warga Myanmar berusia dua tahun dan lelaki warga Myanmar berusia 34 tahun parah terkena tembakan rambang dalam kejadian di Pusat Bandar Utara, berhampiran Pasar Borong Jalan Ipoh, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian 10 malam itu, lima lelaki yang menaiki dua kenderaan memasuki kawasan berkenaan dan tiba-tiba seorang daripada mereka melepaskan tembakan ke arah orang awam.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner R Munusamy berkata, budak lelaki itu parah di paha manakala lelaki terbabit parah di perut dan mereka dibawa ke Hospital Selayang untuk dirawat.

"Hasil pemeriksaan di lokasi kejadian polis menemui lima kelongsong dan dua anak peluru yang dipercayai digunakan oleh suspek," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, susulan kejadian itu, seorang lelaki tempatan ditahan dan direman sehingga esok bagi membantu siasatan.

"Motif serta punca kejadian masih dalam siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

"Usaha giat dijalankan untuk mengesan suspek lain yang masih bebas," tegasnya.

Sementara itu, dalam satu lagi kes berasingan di Pasar Borong Kuala Lumpur pada 3.45 pagi tadi, lelaki tempatan berusia 33 tahun ditemui mati dengan lima kesan tikaman.

Munusamy berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam yang menjumpai mayat lelaki berlumuran darah di dalam kawasan pasar berkenaan.

"Menurut keterangan saksi, dua suspek yang menaiki motosikal menyerang mangsa dengan menggunakan pisau.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 January 2016 @ 6:10 PM