FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
BERNAMA

Kuala Lumpur: Seorang lelaki Korea Selatan ditemui mati di sebuah kondominium di Jalan Sultan Azlan Shah di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Sentul ACP R. Munusamy berkata hasil laporan bedah siasat, lelaki berumur 42 tahun itu mati akibat sakit jantung kira-kira empat hari lalu, berdasarkan kesan pereputan pada mayat.

"Mayat kini berada di Hospital Kuala Lumpur dan pihak kedutaan Korea Selatan sudah dimaklumkan bagi mengesan anggota keluarganya," katanya di sini, hari ini.

Menurutnya polis dimaklumkan kes itu selepas menerima panggilan daripada seorang pengawal keselamatan kondominum berkenaan pada 10.41 malam tadi yang terhidu bau busuk dari dalam rumah lelaki itu.

Beliau berkata polis dan pengawal keselamatan terpaksa memecahkan pintu sebelum menemui mayat lelaki itu tertiarap di atas katil.

Munusamy berkata, daripada maklumat ejen yang mengurus sewa unit kondominium itu, lelaki asing itu datang ke Malaysia untuk mempelajari bahasa Inggeris dan menyewa kediaman itu sejak Mei tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Mac 2017 @ 7:42 PM