Ibrahim Isa


Muar: Bas terlalu laju disyaki punca pemandunya hilang kawalan sehingga terjunam ke cerun dan meragut 14 nyawa, di KM137.3 lebuh raya PLUS, arah utara, awal pagi ini.

Ketua Polis daerah Muar, Asisten Komisioner Azman Ayob, berkata siasatan awal mendapati kejadian tanpa membabitkan kenderaan lain dan berlaku pada 3.45 pagi.

“Hasil siasatan awal kami percaya bas ekspres Alison Golden Coach dari JB Sentral ke Terminal Bas Bersepadu Selatan (TBS) Kuala Lumpur terbabas ke kiri jalan.

“Ini berdasarkan kesan tayar pada tanah sejauh 150 meter tanpa ada kesan membrek.

"Ia kemudiannya melambung dan terjunam ke cerun kira-kira 10 meter sebelum terhenti apabila bahagian depan bas merempuh terowong konkrit di Kampung Jayo.

"Akibat hentakan kuat itu, 13 daripada 30 penumpang dan pemandu meninggal dunia di tempat kejadian.

“Seorang daripada penumpang meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF).

"Kesemua yang meninggal maut adalah penumpang yang duduk di bahagian depan bas," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar, di sini, hari ini.

Azman berkata, enam lelaki dan lapan wanita termasuk seorang kanak-kanak maut manakala baki 16 penumpang cedera dikejarkan ke HPSF untuk mendapatkan rawatan kecemasan.

Katanya, lebih 50 pasukan keselamatan dikejarkan ke lokasi membabitkan polis, Bomba dan Penyelamat, Agensi Pertahanan Awam Malaysia (APAM) dan hospital dan operasi menyelamat tamat pada 7.30 pagi.

Menurutnya, polis cuba menghubungi pengurusan bas ekspress berkenaan namun belum mendapat jawapan.

"Semua identiti mangsa yang maut belum dikenal pasti. Mangsa cedera terdiri daripada tujuh lelaki tempatan, 5 lelaki Singapura, 2 lelaki Myanmar, seorang wanita Singapura dan seorang wanita belum diketahui identiti.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan APJ 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Disember 2016 @ 10:47 AM