Setiap ‘game’ memaparkan jenis watak berbeza. HAZRIL MD NOR lampirkan fakta mengenai watak utama dan watak kompleks dalam permainan video.

Beberapa genre permainan seperti MMORPG terkenal dengan pengenalan kelas pelbagai variasi. Istilah ini lebih mudah diertikan sebagai watak yang mempunyai set kuasa tertentu dan latar belakang berbeza.

Sebagai contoh, ‘warrior’ bermaksud individu yang menggunakan pedang sebagai senjata utama. Ciri ini juga memberikan kebebasan kepada kita sebagai pemain untuk memilih kelas yang digemari dan eksploitasi kelebihan kelas masing-masing.

Kelas Utama

* Assassin - Dalam kebanyakan ‘game’, kelas Assassin biasanya boleh dikaitkan dengan ketangkasan dan taktik rahsia yang boleh mengelirukan sesiapa saja.

Mana tidaknya, kuasa ikoniknya seperti menghilangkan diri dan kemudian muncul di belakang pihak lawan pastinya berupaya memberikan elemen kejutan kepada pihak lawan terutama dalam mod pemain lawan pemain (PVP).

* Healer - Bukan saja penting dalam medan perang malahan ‘healer’ dianggap penyelamat dan kelas rebutan dalam sesebuah kumpulan. Kekuatannya dinilai dari segi penggunaan kuasa yang memastikan setiap ahli pasukan terus hidup berjuang.

‘Heal’ antara kuasa ikonik yang menambahkan nyawa karakter pemain mengikut kadar tertentu. ‘Resurrection’ membolehkan ‘healer’ menghidupkan pemain yang tewas di medan perang.

* Archer - Pantas, tangkas dan hebat dalam menentukan sasaran. Ciri utama ‘archer’ ini amat diperlukan dalam sesebuah kumpulan yang inginkan ‘grinding’ dalam skala besar.

Pengguna ‘archer’ bukan saja berupaya mengelakkan diri dari dicederakan tapi juga boleh terus hidup dalam medan peperangan sekiranya mereka mahir mengeksploitasi kelebihan kelas ini.

* Warrior - Bukan semua pemain berani berdepan ratusan musuh yang menyerang serentak. Namun bagi mereka yang menggunakan watak ini, tidak perlu rasa gentar dan takut. Ini kerana ‘warrior’ dilengkapi dengan jumlah nyawa yang banyak dan set kuasa yang membolehkan semua serangan tertumpu padanya.

* Magician - Tanpa kuasa magik, pasti mengambil masa yang lama untuk mara ke peringkat lebih tinggi.

‘Magician’ memiliki kuasa yang tiada taranya kerana setiap skil yang diaplikasikan dalam serangan biasanya boleh mengenakan ‘damage’ yang tinggi dan mampu melenyapkan kesemua pihak musuh serta berupaya membeku ataupun melemahkan serangan mereka.

Lebih kompleks

* Summoner - Keupayaan untuk memanggil haiwan atau makhluk ghaib dari dimensi berbeza antara kelebihan pengguna ‘summoner’.

Berbanding dengan kelas lain yang mengharapkan kuasa atau ‘mana’ untuk terus berjuang, ‘summoner’ bergantung pada kekuatan makhluk yang dipanggil. Lebih tinggi tahap kekuatan pemain maka lebih tinggi kekuatan makhluk itu.

* Knight - Kebiasaannya, istilah ‘knight’ bermaksud individu yang berkhidmat untuk kerajaan diraja. Dalam pelbagai versi ‘game’, karakter ini sering dilihat sebagai ketua pasukan dan mempunyai sikap yang mulia, berani dan melindungi mereka yang lemah.

Bezanya daripada ‘warrior’, ‘knight’ lebih kompleks kerana memiliki kedua-dua kuasa pertahanan dan serangan.

* Gunner - Watak ini boleh dianggap istimewa dan unik kerana hanya beberapa permainan video saja yang memaparkan karakter ini.

Berbeza dengan watak yang menggunakan senjata jarak jauh lain, ‘gunner’ lebih kompleks kerana memiliki ‘damage’ tertinggi berbanding watak lain. Mereka juga tangkas dan mudah bergerak dalam medan pertarungan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Julai 2015 @ 10:12 AM