Muhaamad Hafis Nawawi


Petaling Jaya: Dua lembu yang terlepas di Lebuhraya Damansara Puchong (LDP) menyebabkan kemalangan kereta, semalam.

Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polisi Daerah (IPD) Petaling Jaya mengesan satu video tular memaparkan dua lembu terlepas dan menyebabkan kemalangan, dalam kejadian 5.30 petang itu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja'afar berkata, kejadian ini dipercayai berlaku apabila lembu itu terlepas dari kawasan surau berhampiran dan masuk ke kawasan LDP berhampiran Paradigm Mall menghala ke Puchong.

Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati bahawa insiden itu menyebabkan berlaku kemalangan dengan Perodua Myvi.

"Walaubagaimanapun, kemalangan ini tidak menyebabkan sebarang kecederaan kepada pemandu kenderaan terbabit.

KERETA yang terbabit kemalangan dengan lembu korban terlepas. FOTO ihsan Polis
KERETA yang terbabit kemalangan dengan lembu korban terlepas. FOTO ihsan Polis

"Polis memohon perakam insiden untuk tampil ke Bahagian Siasatan danPenguatkuasaan Trafik Daerah Petaling Jaya dan menghubungi pegawai penyiasat trafik, Inspektor Muhammad Hisyam Azih di talian 017-7378704," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, siasatan diteruskan mengikut rule 33(1) Kaedah-kaedah Lalu Lintas Jalan 1959.

"Pihak polis ingin mengingatkan orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan sebarang kegusaran awam serta memohon semua pengguna jalan raya sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya bagi mengelak sebarang kejadian kemalangan.

"Pihak polis tidak akan berkompromi kepada mana-mana pemandu yang memandu secara merbahaya dan akan mengambil tindakan tegas kepada mana-mana pengguna jalan raya yang melanggar undang-undang," katanya.

Lembu 'melarikan diri' di LDP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Jun 2024 @ 3:18 PM