Permainan video mengalami transformasi dari tahun ke tahun. HAZRIL MDNOR percaya keluaran permainan video tahun ini menjanjikan kelainan buat anak muda yang memiliki konsol dan komputer di rumah.

Sepanjang tahun lalu, kita disajikan dengan pelbagai permainan video hebat seperti Titanfall, Call of Duty: Advanced Warfare, Far Cry 4 dan lain-lain. Tahun ini menjanjikan kepuasan berganda di mana rata-rata permainan video popular memperoleh sekuel mereka yang sudah sekian lama dinantikan peminat.

Batman: Arkham Knight

Francais Batman dikenali berpandukan karakter utamanya yang segak dan penuh dengan peralatan canggih. Sama ada di layar perak hinggalah ke landasan permainan video sendiri, francais Batman mempunyai ramai peminat yang memuji kehebatan adiwira itu.

Batman: Arkham antara siri terbaru dan penuh dengan pembaharuan di mana ia lebih fokus kepada konsep ‘dunia terbuka’ dan penerokaan bebas. Siri pertama, Batman: Arkham City turut mengetengahkan konsep pertarungan baru dan alatan canggih Batman yang boleh digunakan semasa dalam pertarungan dan ketika meneroka bandar Gotham.

Permainan video yang banyak merangkul anugerah itu diteruskan kejayaannya melalui sekuel terbaru mulai Jun tahun ini. Judul terbaru, Arkham Knight dijangka membawa lebih banyak pembaharuan dan satu-satunya permainan dalam siri berkenaan yang memperkenalkan kereta ikonik Batman iaitu Batmobile.

Persona 5

Siri permainan Shin Megami Tensei: Persona bukan topik asing dalam kalangan anak muda yang memiliki konsol Playstation. Permainan video popular ciptaan syarikat Atlus itu memfokuskan konsep pengembaraan pelajar sekolah menengah dalam usaha menyelesaikan misteri kemunculan makhluk jahat Shadows di kawasan bandar metropolitan.

Keluaran keempat, Persona 4 membawa banyak elemen baru yang tidak didapati dalam keluaran ketiga. Dengan sistem permainan yang unik dan plotnya yang memfokuskan misteri di sebalik kejadian pembunuhan misteri, Persona 4 ternyata memberikan perubahan yang nyata pada konsep Role Playing Game (RPG). Game itu juga dilengkapi ciri menarik seperti fungsi menggabungkan Persona yang tidak wujud dalam keluaran sebelumnya.

Tahun 2015 bakal menyaksikan keluaran kelima iaitu Persona 5 yang sudah lama dinantikan pemain sejak tujuh tahun lalu. Konsepnya sama cuma ditambah baik dalam beberapa aspek yang memfokuskan keselesaan pemain melakukan pelbagai gerakan ketika meneroka ‘dungeon’. Persona 5 dijangka dipasarkan untuk pelantar Playstation 3 dan 4.

The Witcher 3: Wild Hunt

Novel The Witcher karya penulis kelahiran Poland, Andrzej Sapkowski bukan saja popular malah ia diadaptasi menjadi sebuah filem, siri televisyen, novel grafik dan juga diberikan sentuhan baru melalui penghasilan permainan video The Witcher yang berkisarkan kehidupan Geralt sebagai pemburu raksasa dengan kuasa istimewa.

Keunikan permainan ini boleh dilihat melalui corak permainannya yang berbeza berbanding game RPG yang lain. Pemain boleh memilih satu antara tiga cara bertarung sesuai dengan kekuatan musuh yang diperangi. Ia juga memfokuskan konsep ‘alchemy’ di mana pemain boleh membuat ‘potions’ untuk bertahan lebih lama dalam pertarungan dan melihat dalam gelap serta beberapa kelebihan lain.

Judul ketiga, The Witcher 3: Wild Hunt yang bakal berada di pasaran Mei ini menjanjikan tahap keseronokan berbeza berbanding keluaran sebelumnya. Dalam keluaran terbaru ini, sesi pertarungan jadi lebih hebat kerana karakter anda berupaya menggunakan kuasa magis. Geralt juga dianugerahi keupayaan baru seperti berenang, memegang busur silang, berlawan ketika sedang menunggang kuda dan lain lain lagi.

Dead Island 2

Bukan hanya RPG tapi permainan video genre seram juga tidak terlepas daripada persaingan hebat sepanjang tahun ini. Judul Dead Island yang popular di konsol dan komputer dijangka mengalami transformasi dalam keluaran barunya tidak lama lagi.

Secara ringkasnya, Dead Island menyediakan konsep permainan yang agresif dan diselitkan elemen seram untuk membezakan identitinya berbanding game seram yang lain. Terkandas di sebuah pulau yang dihuni mayat hidup, pemain perlu mengatasi ketakutan dan menyiapkan tugasan sampingan untuk menamatkan permainan itu.

Keluaran keempat iaitu Dead Island 2 juga ada aura tersendiri di mana syarikat pengeluarnya, Yager Development menjanjikan konsep permainan lebih ganas dan memaparkan zombi yang lebih agresif serta kebolehan pemain mencipta senjata melalui proses penggabungan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Mac 2015 @ 11:21 AM