Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Kelebihan memiliki daging yang banyak menyebabkan lembu sado turut menjadi pilihan masyarakat Islam Myanmar bagi melaksanakan ibadah korban, tahun ini.

Ketua Komuniti Humanitarian Aid Selangor, Rafik Shah Mohd Ismail berkata, lapan ekor lembu sado dipilih daripada 28 ekor lembu biasa untuk tujuan korban kali ini.

Menurutnya, harga haiwan itu mencecah hampir RM20,000 tidak menjadi halangan besar buat masyarakat Islam Myanmar untuk membelinya bagi tujuan ibadah setahun sekali itu.

"Ini acara tahunan kami sejak tahun lalu dan kali ini kita berjaya mendapat kebenaran untuk 28 ekor lembu dan dua kambing.

"Istimewanya tahun ini, kita memperoleh lapan ekor lembu sado seberat lebih satu tan seekor yang mencecah RM20,000 manakala 20 ekor lagi lembu lebih 700 kilogram (kira-kira RM10,000) seekor.

"Menariknya, lembu-lembu ini dibeli masyarakat Islam Myanmar yang mempunyai kesungguhan tinggi dengan menyimpan selama setahun memandangkan ia juga jatuh wajib dalam Mazhab Hanafi," katanya.

Antara masyarakat Rohingya dan tempatan melihat lembu yang akan dikorbankan ketika majlis Qurban masyarakat Rohingya sempena Hari Raya Aidiladha di sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Antara masyarakat Rohingya dan tempatan melihat lembu yang akan dikorbankan ketika majlis Qurban masyarakat Rohingya sempena Hari Raya Aidiladha di sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Qurban Perdana Masyarakat Myanmar Muslim, di sini, hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Kehormat Institut Kerjasama Islam Antarabangsa Malaysia (Ikiam), Razali Latif serta dihadiri lebih 400 masyarakat Islam Myanmar dan penduduk tempatan.

Program itu turut dipantau pihak berkuasa termasuk Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS).

Rafik Shah berkata, majlis berkenaan dianjurkan dengan kerjasama Ikiam, Pertubuhan Kebajikan Islam Nusantara (Perkin) serta Majlis Perwakilan Penduduk Sub Zon 5, Parlimen Batu.

Selain DVS, katanya, program berkenaan juga mendapat kerjasama dan kebenaran daripada pihak berkuasa lain seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Pejabat Tanah dan Galian (PTG) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Sebelum ini banyak isu naratif buruk dimainkan terutama di media sosial apabila ramai yang ikat, tambat dan sembelih lembu di sekitar bangunan di kawasan pasar borong sehingga memalukan dan menjejaskan imej Islam itu sendiri.

"Jadi kami ambil insiatif ini supaya ibadah korban dilaksanakan masyarakat Islam Myanmar lebih teratur dan terkawal.

"Kita ajak sekali masyarakat tempatan sertai program ini supaya dapat merapatkan ukhwah sesama Islam dan menutup jurang dengan masyarakat pelarian ini, malah anak kecil juga dibenarkan bagi memberi pendedahan awal supaya legasi ini diteruskan," katanya.

Katanya, selain ibadah korban, mereka juga bergiat aktif menganjurkan pelbagai program termasuk advokasi serta menjadi orang tengah bagi menyelesaikan isu berbangkit antara penduduk tempatan dan masyarakat pelarian.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Jun 2024 @ 2:13 PM