MOHAMMAD Alias Alan (kiri) meraikan jaringan bersama Muhammad Raimi Shamsul (empat dari kanan) pada aksi perlawanan akhir Piala SuperMokh bawah 14 tahun.
MOHAMMAD Alias Alan (kiri) meraikan jaringan bersama Muhammad Raimi Shamsul (empat dari kanan) pada aksi perlawanan akhir Piala SuperMokh bawah 14 tahun.
Aziman Rosdi

Kuala Lumpur: Ketua jurulatih skuad bawah 14 tahun negara (B-14) Lim Teong Kim masih belum berpuas hati dengan prestasi anak buahnya meskipun berjaya mencipta kejayaan buat kali pertama menjuarai Piala SuperMokh semalam.

Jaringan lewat permainan penyerang gantian Harith Naem Jaineh memastikan kemenangan 1-0 skuad bergelar Malaysia Cougars di bawah Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) ke atas kelab Portugal Sporting CP di padang Majlis Sukan Negara (MSN).

Ia kejuaraan sulung skuad muda negara dalam tiga edisi bagaimanapun bagi Teong Kim masih ada sesuatu yang kurang menyenangkan baginya.

“Dari segi kemenangan bagus kerana ia final tapi dari segi prestasi saya kurang berpuas hati kerana saya pasti pemain boleh bermain lebih baik daripada apa yang mereka tunjuk tapi sebab hari ini final kita ambil saja kemenangan ini,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan itu semalam.

Ia kejayaan kedua skuad NFDP merangkul kejuaraan antarabangsa selepas menjulang trofi Piala Iber Costa del Sol di Sepanyol tahun lalu.

Bagaimanapun tugas sebenar anak buah Teong Kim yang juga kini menggalas tugas selaku Pengarah Akademi Bolasepak Negara bermula tahun depan apabila mereka akan mengharungi pusingan kelayakan Kejohanan B-16 AFC 2018 dalam misi untuk mencari slot ke Piala Dunia B-17 2019.

Menurut bekas jurulatih remaja Bayern Munich itu, beliau yakin dengan keupayaan pemain untuk mengharungi pusingan kelayakan itu seterusnya mencapai misi penubuhan untuk layak ke Piala Dunia Remaja 2019.

“Perancangan kita seperti biasa, kita akan terus berlatih dan mengadakan perlawanan persahabatan di luar negara.

“Saya yakin kita berada di landasan tepat kerana kalau tidak kita tak sampai ke final (Piala SuperMokh) kerana pasukan yang main di sini bukan pasukan ‘kucing kurap’,” kata Teong Kim.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Disember 2016 @ 11:10 AM