PEMAIN Malaysia B-14, Hairth Haikal Adam Afkar (kiri) melompat menanduk yang disaingi  pemain FC Bunyodkor, Buriev Abdurauf, pada separuh akhir Piala Supermokh di padang MSN Bukit Jalil. FOTO Osman Adnan
PEMAIN Malaysia B-14, Hairth Haikal Adam Afkar (kiri) melompat menanduk yang disaingi pemain FC Bunyodkor, Buriev Abdurauf, pada separuh akhir Piala Supermokh di padang MSN Bukit Jalil. FOTO Osman Adnan
Firdaus Hashim


SKUAD B-14 Malaysia hanya tinggal selangkah untuk menjulang kejuaraan Piala Supermokh 2016.

Skuad Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) itu ke final selepas menundukkan FC Bunyodkor dari Uzbekistan 2-1, pada separuh akhir di Padang Sintetik D di MSN, Bukit Jalil, hari ini.

Dua jaringan skuad negara yang digelar Malaysia Cougars itu disumbangkan Harith Haikal Adam Afkar pada minit ke-12 dan Luqman Hakim Samsudin pada minit ke-33.

Bagaimanapun, pelawat bangkit dan berjaya meraih gol sulung pada babak kedua menerusi Rakhimkulor Diyorbek minit ke-59.

Namun, ia masih tidak cukup menghalang anak buah Lim Teong Kim mara ke final, di venue sama, esok.

Lebih manis, skuad masa depan Harimau Malaysia itu masih mengekalkan rekod bersih apabila mencatatkan kemenangan dalam semua aksi dan merakam 12 jaringan dengan sekadar dibolosi tiga kali.

Pada aksi final esok, Malaysia Cougars akan membuat perhitungan dengan akademi terkemuka Portugal, Sporting CP, yang mengenepikan tentangan Sao Paulo dari Brazil menerusi keputusan 2-1.

Pertembungan final kedua-dua pasukan adalah yang kedua selepas tahun lalu mereka bertemu pada aksi final Piala Iber Costa del Sol.

Ketika itu skuad NFDP menewaskan Sporting CP, 2-1, di Kompleks Sukan Munoz Perez, Marbella, Sepanyol.

Sementara itu, kecemerlangan anak didik Teong Kim itu gagal diteruskan dua lagi wakil negara dalam kategori B-12 tahun.

Skuad B-12 Malaysia Cougars tumbang 4-5 kepada Gimpo JIJ (Korea Selatan) menerusi penentuan sepakan penalti selepas terikat tanpa jaringan sepenuh masa dan tambahan masa.

Nasib sama turut menimpa skuad B-12 Malaysia Tigers apabila dibelasah Sporting CP, 0-6, dalam aksi separuh akhir yang dikuasai sepenuhnya pasukan dari Eropah itu.

Aksi final bagi kedua-dua kategori B-12 dan B-14, dijadualkan pada 2.30 petang esok.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Disember 2016 @ 9:30 PM