SKUAD NFDP   bersama Piala Iber   Costa Del Sol ketika tiba di KLIA.
SKUAD NFDP bersama Piala Iber Costa Del Sol ketika tiba di KLIA.
Oleh Aziman Rosdi

Sepang: Perjalanan skuad bawah 13 tahun (B-13) Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) masih lagi panjang namun barisan pemain itu diyakini sudah memiliki DNA bola sepak baru untuk bersaing di pentas antarabangsa.

Selepas lebih sebulan mengharungi aksi persahabatan dan kejohanan di Jerman, Austria, Sepanyol dan Portugal, skuad yang dibarisi 24 pemain itu tiba di tanah air semalam dengan reputasi berbeza.

Tiada siapa yang peduli ketika skuad bimbing Lim Teong Kim itu melangkah ke luar negara bagi program Jelajah Eropah 29 Mei lalu namun dengan rekod 21 kemenangan, dua seri dan satu kalah daripada 24 perlawanan termasuk menjuarai kejohanan Piala Iber Costa del Sol di Marbella Sepanyol (27 Jun), anak harimau itu mula menyalakan impian peminat tempatan.

Bagaimanapun masih ada kesangsian dengan kemampuan pemain ini untuk terus kekal hebat bersaing di luar negara apabila menjengah usia dewasa kelak seperti yang berlaku sebelum ini namun bagi Pengarah Kanan Unit Sokongan NFDP Safirul Azli Abu Bakar, beliau ada sebab untuk menaruh keyakinan ‘pisang tak akan berbuah dua kali’.

“Skuad ini penting kerana mereka ini menjadi teras pertama dalam DNA bola sepak baru yang mahu diterapkan dalam PPBN (Pelan Pembangunan Bolasepak Negara).

“Skuad ini menggunakan 100 peratus DNA bola sepak baru dan sekarang sudah terbukti DNA ini boleh digunakan untuk bersaing di pentas antarabangsa. Selepas ini pasukan di bawah umur yang lain cuma terus ikut program ini.

“Bila cakap kita pernah menang di kejohanan peringkat bawah umur sebelum ini, kita mungkin boleh dapat kemenangan dengan pasukan besar seperti Korea, Jepun sekali, dua kali.

“Tapi kali ini bila kita cakap persembahan bagus bukan saja berdasarkan keputusan tapi cara pemain mendominasi permainan. Kebanyakan perlawanan kita menguasai lebih 60 peratus penguasaan bola serta berjaya mengawal tempo,” katanya ketika ditemui sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dari Portugal semalam.

Skuad Amak Harimau itu pulang ke tanah air selepas menamatkan kempen jelajah Eropah dengan menyertai kejohanan Piala Iber Estoril di mana mereka terkandas di suku akhir apabila tewas di tangan skuad B-13 kelab gergasi Perancis Paris Saint Germain (PSG) 0-4 minggu lalu.

Penyertaan pasukan muda ini di Eropah hanyalah sebagai medan pendedahan kerana misi utama adalah melayakkan diri ke Piala Dunia B-17 pada 2019.

Semua pemain diberikan cuti bermula hari ini dan akan kembali menjalani latihan pada 21 Ogos depan. Mereka akan ke United Kingdom September ini bagi siri jelajah Eropah kedua sebelum menyertai Piala Supermokh di Kuala Lumpur awal Disember depan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Julai 2015 @ 8:45 AM