BARISAN pemain NFDP yang  memenangi Piala SuperMokh.
BARISAN pemain NFDP yang memenangi Piala SuperMokh.
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Selepas kejayaan mengungguli dua kejohanan berstatus kelab - Piala Iber Costa del Sol di Sepanyol pada 2015 dan Piala SuperMokh penghujung tahun lalu - kini skuad kendalian Lim Teong Kim bakal diuji dalam saingan peringkat antarabangsa.

Menurut Ketua Eksekutif Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) Safirul Abu Bakar, Kejohanan Jemputan Torneo Delle Nazioni yang dilabel ‘Mini Piala Dunia’ bagi pemain bawah 15 tahun (B-15) itu akan dijadikan medan terbaik sebelum skuad negara mengharungi Kelayakan Piala Asia, September ini.

Katanya, saingan bakal berlangsung di Gradisca, Itali bermula Selasa depan hingga 1 Mei akan menyaksikan anak buah Teong Kim bertanding atas nama skuad kebangsaan B-15 berbanding sebelum ini, NFDP.

“Kejohanan ini (Torneo Delle Nazioni) antara kejohanan paling elit di Eropah kerana menghimpunkan beberapa pasukan kebangsaan B-15 yang membabitkan benua berbeza.

“Ia juga boleh diiktiraf seperti pentas Piala Dunia bagi kategori itu. Malaysia, Jepun dan UAE (Emiriah Arab Bersatu) adalah wakil dari Asia manakala sembilan negara lagi dari Eropah dan Amerika Utara.

“Walaupun matlamat utama menyertai kejohanan itu hanya untuk meraih pengalaman selain persediaan bagi menghadapi Kelayakan Piala Asia B-16, September ini, namun kita tetap menyasarkan sekurang-kurangnya mara ke separuh akhir,” katanya, semalam.

Sebanyak 12 negara akan mengambil bahagian pada kejohanan itu yang akan dijalankan secara serentak di tiga negara membabitkan Itali, Austria dan Slovenia.

Dalam saingan itu, Malaysia diletakkan dalam Kumpulan B bersama-sama tuan rumah Austria, Croatia dan Mexico dengan juara setiap kumpulan layak secara automatik ke separuh akhir.

“Kita pernah bertemu kelab dari negara yang berada sekumpulan dengan kita. Berdasarkan keputusan terdahulu, kita berjaya menewaskan mereka. Saya yakin pemain sama akan turut dipertaruhkan skuad negara itu,” katanya.

Skuad negara bertolak awal kelmarin ini dengan menjadikan Venice sebagai pusat latihan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 April 2017 @ 6:40 AM