Skuad Projek B-13 PPBN bersama Piala Iber Costa Del Sol ketika tiba di KLIA selepas Program Jelajah Eropah 2015. FOTO Osman Adnan
Skuad Projek B-13 PPBN bersama Piala Iber Costa Del Sol ketika tiba di KLIA selepas Program Jelajah Eropah 2015. FOTO Osman Adnan
Oleh Aziman Rosdi


Sepang: Skuad bawah 13 tahun Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) yang selamat tiba di tanah air petang tadi selepas cemerlang mengharungi jelajah Eropah bertekad untuk terus 'mengaum' di pentas antarabangsa selepas ini.

Selama lebih sebulan di luar negara, skuad kendalian Lim Teong Kim itu membuka mata ramai pihak bukan saja dengan rekod kemenangan memberangsangkan dalam aksi persahabatan malah berjaya membawa pulang trofi Piala Iber Costa del Sol di Marbella, Sepanyol apabila mengalahkan skuad B-13 Sporting Lisbon 2-1 di final.

Namun hajat skuad anak harimau itu untuk menambah kejuaraan disekat skuad B-13 Paris Saint-Germain apabila kalah 0-4 di suku akhir Piala Iber Estoril Portugal, minggu lalu.

Kesemua 24 pemain daripada skuad ini akan kembali berkumpul bagi menjalani latihan selepas cuti hari raya bagi persediaan mengharungi satu lagi program jelajah di United Kingdom, September ini.

Ia sebahagian daripada persiapan skuad NFDP sebelum menyertai kejohanan Piala Supermokh di Kuala Lumpur awal Disember depan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Julai 2015 @ 5:56 PM