PEMANDU MPV maut selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 316.3 Lebuh Raya Utara Selatan arah utara awal pagi tadi, dekat sini. FOTO ihsan PDRM
PEMANDU MPV maut selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 316.3 Lebuh Raya Utara Selatan arah utara awal pagi tadi, dekat sini. FOTO ihsan PDRM
Rosman Shamsudin


Tapah: Pemandu kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Innova, Tan Ying Ming, 54, maut selepas terbabit kemalangan membabitkan dua lori di Kilometer 316.3, Lebuh Raya Utara Selatan arah utara, jam 4.30 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, dua pemandu lori berumur 49 tahun dan 58 tahun yang masing-masing membawa muatan buah-buahan serta ayam bagaimanapun selamat.

"Mangsa dikatakan dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Ipoh, Perak. Tiba di lokasi, MPV itu melanggar belakang lori buah-buahan di lorong kiri.

"Akibatnya, MPV itu terbabas ke lorong kanan sebelum dilanggar lori membawa muatan ayam," katanya pada kenyataan.

Wan Azharuddin berkata, Ying Ming yang berasal dari Subang, Selangor dan berkerja sebagai pemandu teksi persendirian tercampak keluar daripada MPV itu.

Mayat dibawa ke Hospital Tapah untuk tindakan selanjutnya dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Oktober 2021 @ 12:44 PM